Pelan Induk Air Sarawak Pacu Transformasi Bekalan Air di Sri Aman
SRI AMAN: Komitmen berterusan Kerajaan Sarawak di bawah pentadbiran Gabungan Parti Sarawak (GPS) dalam memastikan bekalan air bersih dan terawat terus diperkasa melalui pelaksanaan pelbagai projek strategik di Bahagian Sri Aman.
Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak, Dato Sri Julaihi Narawi berkata, usaha tersebut dilaksanakan menerusi Pelan Induk Bekalan Air Sarawak, Sistem Grid Air Sarawak serta Program Pengurangan Air Tidak Terhasil yang dibiayai sepenuhnya oleh Kerajaan Sarawak.
Jelas bellau, pelaksanaan projek berkenaan dikendalikan oleh Kementerian Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak melalui agensi pelaksananya, Jabatan Bekalan Air Luar Bandar (JBALB) dan Sarawak Water.
"Bagi Bahagian Sri Aman, sebuah Loji Rawatan Air baharu berkapasiti 75 juta liter sehari (MLD) kini sedang dibina di Engkilili, yang dijangka meningkatkan keupayaan bekalan air bersih secara signifikan apabila siap kelak.
"Loji tersebut bakal melengkapi fungsi Loji Rawatan Air Bayai yang ketika ini membekalkan sekitar 53 MLD kepada kawasan Sri Aman dan sekitarnya," katanya dalam Facebook rasminya baru-baru ini.
Dalam masa sama, beliau memberitahu, beberapa loji rawatan air berskala kecil turut beroperasi bagi menyokong keperluan bekalan air tempatan, antaranya di Lingga (1.65 MLD), Melugu (0.65 MLD), Skrang (0.65 MLD), Engkilili (1.30 MLD), Pantu (2.0 MLD), Seduku (2.0 MLD), Stumbin (0.65 MLD), Lubok Antu (15.0 MLD) serta LDS Lubok Antu (2.20 MLD).
Selain itu jelasnya, pelaksanaan Sistem Bekalan Air Serantau Sri Aman yang menghubungkan Loji Rawatan Air Engkilili dan Bayai turut diluluskan sebagai sebahagian daripada pembangunan sistem grid air negeri.
Melalui sistem ini, rangkaian paip air akan diperluas secara berperingkat melibatkan laluan utama dari Engkilili ke Bayai, seterusnya ke Pantu dan Lingga bagi memastikan pengagihan bekalan air lebih stabil dan menyeluruh.
Dalam usaha meningkatkan kecekapan sistem sedia ada, kerja-kerja penggantian serta naik taraf paip uzur turut giat dilaksanakan oleh JBALB bagi mengurangkan kadar NRW, sekali gus meminimumkan pembaziran sumber air.
Inisiatif menyeluruh ini mencerminkan kesungguhan Kerajaan Sarawak dalam memastikan rakyat, khususnya di luar bandar, menikmati akses kepada bekalan air bersih yang mampan, selaras dengan agenda pembangunan negeri menjelang 2030.-EDISI UKAS