Ancaman Rabies Membimbangkan, Sarawak Catat 93 Kes, 86 Kematian Sejak 2017
KUCHING: Ancaman rabies di Sarawak masih membimbangkan menyaksikan 93 kes jangkitan manusia direkodkan dengan 86 kematian sejak tahun 2017, sekali gus menunjukkan kadar fataliti yang amat tinggi dan menuntut tindakan lebih agresif serta bersepadu.
Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah Sarawak, Dato Sri Dr Stephen Rundi Utom menegaskan, statistik tersebut jelas membuktikan wabak tersebut merupakan penyakit yang boleh membawa maut jika tidak ditangani segera.
Menurut beliau, daripada keseluruhan kes yang direkodkan, hanya tujuh pesakit dilaporkan terselamat, namun kebanyakannya masih bergantung kepada sokongan hayat, sekali gus menggambarkan tahap kritikal jangkitan tersebut.
“Masalah utama ialah masih ramai yang tidak menyedari bahawa rabies merupakan penyakit yang tidak boleh dipulihkan.
“Ini bermakna, sebaik sahaja seseorang digigit, tindakan segera perlu diambil tanpa berlengah dan luka hendaklah dibersihkan dengan segera sebelum mendapatkan rawatan di hospital bagi menerima suntikan yang diperlukan.
“Ini kerana, risiko jangkitan adalah lebih tinggi sekiranya gigitan berlaku berhampiran otak, khususnya dalam kalangan kanak-kanak yang lebih terdedah kerana saiz fizikal mereka yang lebih kecil,” ujar beliau.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita semasa Program Vaksinasi Oral Rabies (ORV) di sekitar Taman Malihah, di sini, pada Rabu.
Dari segi perkembangan semasa, Sarawak katanya telah merekodkan tiga kes kematian akibat rabies setakat tahun 2026, masing-masing di kawasan Taman Malihah, Serian dan Samarahan.
Dalam usaha membendung penularan, kerajaan negeri ujarnya kini mempergiatkan pendekatan baharu melalui pelaksanaan ORV khususnya bagi menangani populasi anjing liar yang sukar dikawal.
Setakat ini, hampir 700 ekor anjing, termasuk anjing liar, telah berjaya diliputi dalam operasi vaksinasi tersebut, selain program vaksinasi suntikan yang dilaksanakan secara berterusan di seluruh negeri.
Namun begitu, cabaran utama kekal pada peningkatan populasi haiwan terbiar serta faktor sempadan yang mudah dibolosi, sekali gus menyukarkan usaha pengawalan penyakit secara menyeluruh.
“Penduduk di kawasan ini, termasuk penduduk kampung serta pemilik anjing sama ada berlesen atau tidak, menunjukkan kerjasama yang baik dalam usaha menangani rabies.
“Namun demikian, aspek yang perlu terus diperkukuh ialah pendidikan berkaitan keselamatan diri, khususnya tindakan segera yang perlu diambil sekiranya berlaku gigitan anjing,” katanya lagi.
Hadir sama, Pengarah Jabatan Perkhidmatan Veterinar Sarawak (DVS) Datu Dr Adrian Susin Ambud dan Presiden ‘Sarawak Society for the Prevention of Cruelty to Animals’ (SSPCA) Datin Sri Dona Drury Wee. -EDISI UKAS