Projek Berimpak Tinggi Pacu Transformasi Sri Aman, Kurangkan Kebergantungan Feri
SIMANGGANG: Pelaksanaan projek berimpak tinggi di Sri Aman terus menjadi pemangkin utama kepada transformasi infrastruktur dan peningkatan taraf hidup rakyat.
Timbalan Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Sarawak, Datuk Francis Harden Hollis berkata, projek-projek strategik yang sedang dan telah dilaksanakan memberi impak besar terutama dalam memperkukuh jaringan perhubungan serta akses ke kawasan luar bandar.
Menurut beliau, antara projek utama ialah pembinaan Jambatan Batang Lupar II bernilai RM233.6 juta yang dijangka siap pada Mei ini, sekali gus bakal mengurangkan kebergantungan kepada perkhidmatan feri serta memperkukuh rangkaian jalan Pan Borneo.
“Selain itu, projek seperti Simanggang Link Road, Jalan Brayun-Basi-Stuga bernilai RM74 juta, Pusat Khidmat Batu Lintang (RM15 juta) dan Pos Kawalan Sempadan Sungai Putong (RM40 juta) turut memberi kesan positif kepada kesejahteraan sosial dan ekonomi penduduk setempat,” katanya.
Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Simanggang berkata demikian ketika berucap merasmikan Majlis Ramah Tamah Hari Raya Aidilfitri di Dewan Serbaguna Kampung Muhibbah Sri Aman, baru-baru ini.
Tambahnya, menerusi Agensi Pembangunan Sri Aman (SADA), beberapa inisiatif turut berjaya direalisasikan termasuk penubuhan Sarawak Skills Sri Aman, pemasangan lampu isyarat trafik pintar serta pembinaan jambatan merentangi Sungai Undop di Kampung Beleti.
“Keseluruhannya, projek berimpak tinggi ini bukan sahaja memperkukuh infrastruktur, malah membuktikan kesungguhan kerajaan dalam memastikan pembangunan yang inklusif demi kesejahteraan rakyat Sri Aman,” jelasnya.
Terdahulu, majlis anjuran Pusat Khidmat Masyarakat ADUN Simanggang dengan kerjasama lapan Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) itu turut menyaksikan penyampaian cek Projek Kecil Luar Bandar (MRP) kepada 17 pertubuhan berjumlah RM110,000, selain insentif galakan pelajar dan pelbagai persembahan kebudayaan.-EDISI UKAS