Majlis Apresiasi Semarak Konsumerisme 2026 Hargai Peranan Media & Rakan Strategik
MUKAH: Komitmen rakan media dan rakan strategik dalam memperkasa agenda kepenggunaan terus mendapat pengiktirafan apabila diraikan menerusi Majlis Apresiasi Semarak Konsumerisme 2026.
Majlis tersebut menjadi platform penting menghargai sumbangan pelbagai pihak yang memainkan peranan signifikan dalam menjayakan pelbagai inisiatif kepenggunaan di Bahagian Mukah sepanjang tahun 2025.
Wakil Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Sarawak, Roslee Maslie menzahirkan penghargaan kepada pengamal media yang konsisten menyampaikan maklumat tepat dan berkesan kepada masyarakat.
Menurut beliau, media merupakan rakan strategik utama dalam memastikan kesedaran pengguna terus diperkasa, sekali gus membantu rakyat membuat keputusan yang bijak dalam perbelanjaan harian.
Dalam pada itu, beliau turut memaklumkan pelaksanaan Program Foodbank sepanjang tahun 2025 yang digerakkan dengan kerjasama empat rakan strategik utama serta Gerakan Pengguna Siswa (GPS).
“Antara premis terlibat ialah Lian Huat Oya, Chop Tiang Soon Balingian, Long Heng Mini Market dan Chiong Soon Trading Matu.
“Program ini memberi tumpuan kepada penyaluran bantuan makanan kering kepada pelajar tanpa mengira latar belakang, khususnya di institusi pengajian tinggi seperti Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Mukah dan Politeknik Mukah.
“Inisiatif ini secara tidak langsung membantu meringankan beban kos sara hidup pelajar, khususnya dalam kalangan golongan B40,” katanya semasa majlis di Hotel Kingwood Mukah di sini pada Selasa.
Roslee turut merakamkan penghargaan kepada semua pihak termasuk penyumbang Foodbank, rakan strategik dan agensi media atas kerjasama erat yang menjadi pemangkin kejayaan pelaksanaan program sepanjang tahun lalu.-EDISI UKAS