SIBU: Keprihatinan terhadap kebajikan rakyat terus dizahirkan apabila Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pelawan, Datuk Michael Tiang Ming Tee turun padang menyantuni penduduk Kampung Bahagia Jaya Teku, di sini pada Selasa.
Lawatan tersebut membuka ruang kepada penduduk setempat menyuarakan secara langsung pelbagai isu dan keperluan komuniti, khususnya berkaitan kemudahan asas yang memberi kesan kepada kehidupan harian mereka.
Antara perkara utama yang dibangkitkan ialah masalah sistem perparitan yang memerlukan tindakan segera bagi mengelakkan risiko banjir serta ketidakselesaan kepada penduduk.
Selain itu, penduduk turut memohon agar Dewan Komuniti Fasa 1 dinaik taraf dan dibaik pulih bagi memastikan ia lebih selesa serta sesuai digunakan untuk pelbagai aktiviti kemasyarakatan.
Datuk Michael Tiang yang juga Timbalan Menteri Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan menegaskan bahawa setiap isu yang diketengahkan akan dirujuk kepada agensi berkaitan untuk tindakan lanjut.
“Saya akan membawa perkara ini kepada pihak berkenaan supaya tindakan segera dapat diambil demi kesejahteraan penduduk,” katanya.
Dalam lawatan sama, beliau turut menziarahi seorang warga emas terlantar, Badariah Zaini, yang menghidap angin ahmar sejak lebih dua tahun lalu.
Beliau turut menyampaikan sumbangan sebagai tanda keprihatinan, sekali gus mencerminkan komitmen berterusan dalam membantu golongan memerlukan.
Pendekatan turun padang seperti ini, katanya, amat penting bagi memastikan suara rakyat didengar dan kebajikan mereka terus terbela.-EDISI UKAS