16 Rumah Siap Dibaik Pulih, Bukti Komitmen Kebajikan Rakyat DUN Mambong
PADAWAN: Seramai 16 pemilik rumah di Daerah Kecil Padawan kini menikmati kediaman lebih selesa dan selamat selepas rumah mereka siap dibaik pulih di bawah Program Baik Pulih Rumah (PPRMS) DUN N19 Mambong bagi Fasa 1/2026.
Inisiatif tersebut mencerminkan komitmen berterusan kerajaan dalam menjaga kebajikan rakyat luar bandar, khususnya golongan memerlukan, sejajar dengan agenda pembangunan inklusif di kawasan DUN Mambong.
Pemeriksaan akhir bagi kesemua rumah telah dilaksanakan oleh Pegawai Tadbir Khas kepada Timbalan Menteri Pengangkutan Sarawak (Udara & Jalan), Keron Mapus, bagi memastikan setiap projek memenuhi piawaian yang ditetapkan.
Turut mengiringi beliau ialah Pegawai Perhubungan Pejabat Pusat Khidmat, Cr. Felix Ngui, wakil Pejabat Daerah Kecil Padawan, Exco PBB Mambong Smith Apong serta ketua-ketua kaum dari kampung terlibat.
Projek baik pulih itu melibatkan beberapa kampung iaitu Kampung Kiding, Kampung Giam Bauh, Kampung Kamas, Kampung Semadang, Kampung Annah Rais, Kampung Sadir dan Kampung Simuti.
Rata-rata penerima melahirkan rasa syukur dan berpuas hati dengan kualiti kerja yang dilaksanakan, selain menghargai keprihatinan wakil rakyat kawasan, Datuk Dr Jerip Susil, dalam membantu meningkatkan taraf hidup mereka.
Program PPRMS menyediakan peruntukan sehingga RM15,000 bagi setiap rumah, dengan fokus membantu rakyat berpendapatan rendah memiliki kediaman yang lebih selamat dan selesa.-EDISI UKAS