Sarawak Ambil Alih Projek BALB, Percepat Bekalan Air Luar Bandar
KUCHING: Kerajaan Sarawak mengambil langkah proaktif mempercepatkan penyediaan bekalan air luar bandar apabila memohon pengambilalihan pelaksanaan projek Bekalan Air Luar Bandar (BALB) daripada Kerajaan Persekutuan menerusi Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW).
Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak, Dato Sri Julaihi Narawi berkata, daripada 79 projek BALB bernilai RM3.47 bilion yang dilaksanakan oleh KKDW, tahap kemajuan setakat ini hanya sekitar 35 peratus.
“Sebaliknya, projek bekalan air yang dilaksanakan oleh Kerajaan Sarawak sendiri menunjukkan prestasi jauh lebih memberangsangkan dengan 360 projek bernilai hampir RM7 bilion mencapai lebih 93 peratus kemajuan,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas menghadiri Mesyuarat Penyelarasan Penyerahan Projek BALB Kerajaan Persekutuan kepada Kerajaan Sarawak yang dipengerusikan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi di sini pada Selasa.
Turut hadir Timbalan Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah, Datuk Rubiah Wang, Ketua Setiausaha KKDW, Datuk Muhd Khair Razman Mohamed Annuar serta Setiausaha Tetap Kementerian Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak, Datu Jafri Lias.
Jelas beliau, pengambilalihan projek tersebut akan membolehkan pelaksanaan dipercepatkan melalui Kementerian Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak (MUT) bersama agensi pelaksana, Jabatan Bekalan Air Luar Bandar (JBALB).
Dalam masa sama, Sarawak terus komited melaksanakan projek bekalan air negeri melalui Pelan Induk Bekalan Air Sarawak, Sistem Grid Air Sarawak serta Program Pengurangan Air Tidak Terhasil (NRW) bagi memastikan liputan bekalan air bersih lebih menyeluruh, khususnya di kawasan luar bandar.-EDISI UKAS