Seminar Ekspedisi Hutan Perkukuh Kerjasama Lindungi Ekosistem Sarawak
KUCHING: Seminar Ekspedisi Hutan Simpan Sabal dan Hutan Simpan Simunjan 2026 menjadi platform penting dalam memperkukuh kerjasama pelbagai pihak ke arah melindungi ekosistem semula jadi di Sarawak yang semakin terancam.
Pengarah Hutan Sarawak, Datu Hamden Mohammad berkata, seminar tersebut menghimpunkan para penyelidik, wakil agensi, pertubuhan bukan kerajaan (NGO), komuniti setempat serta pihak berkepentingan lain untuk berkongsi dapatan kajian dan pengalaman masing-masing.
Menurut beliau, penganjuran seminar itu membuka peluang terbaik untuk memperkukuh jaringan kerjasama dalam usaha pemuliharaan alam sekitar.
“Sepanjang seminar ini, sebanyak 26 pembentangan secara lisan dan 10 poster akan disampaikan oleh para penyelidik dan pakar dalam bidang masing-masing yang akan berkongsi dapatan kajian serta penemuan penting hasil daripada ekspedisi yang telah dijalankan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Seminar Ekspedisi Hutan Simpan Sabal dan Hutan Simpan Simunjan 2026 yang dirasmikan oleh Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan, di sini, pada Selasa.
Tambahnya, kepelbagaian topik yang dibentangkan diharap dapat memberikan gambaran menyeluruh mengenai status semasa ekosistem di kedua-dua hutan simpan berkenaan.
“Ia seterusnya menyumbang kepada perbincangan yang lebih bermakna ke arah memastikan kelestarian biodiversiti di Sarawak terus terpelihara,” ujarnya.
Turut hadir, Timbalan Menteri Perancangan Bandar, Pentadbiran Tanah dan Alam Sekitar, Datuk Len Talif Salleh.-EDISI UKAS