Kerajaan Sarawak Kurangkan 50 Peratus Royalti Kayu & Caj, Langkah Sementara Dilaksanakan Bagi Sokong Industri
KUCHING: Kerajaan Sarawak di bawah pimpinan Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg telah meluluskan pengurangan sebanyak 50 peratus kadar royalti serta beberapa caj berkanun terpilih bagi kayu balak hutan semula jadi daripada semua Lesen Pembalakan Hutan (FTL) dan Lesen Perladangan Hutan (LPF) kecuali Tarif Industri Kayu H0272502.
Jabatan Hutan Sarawak (JHS) dalam satu kenyataan media pada Rabu memberitahu, langkah sementara ini akan dilaksanakan dalam tempoh dua minggu bagi membolehkan kemas kini sistem dilakukan dan akan berkuat kuasa selama satu tahun, tertakluk kepada penilaian semula.
Jelas JHS, inisiatif tepat pada masanya ini mencerminkan komitmen Kerajaan Sarawak dalam menyokong industri perhutanan dan kayu-kayan yang kini berdepan peningkatan harga bahan api, ketidaktentuan pasaran global, gangguan rantaian bekalan serta kos operasi yang semakin meningkat.
"Pengurangan ini bertujuan memberikan kelegaan kos secara segera, meningkatkan daya maju operasi, menstabilkan margin keuntungan, memperkukuh pemprosesan kayu domestik serta memastikan kesinambungan penyertaan industri dan kestabilan bekalan.
"Trend semasa menunjukkan peningkatan kos telah mendorong peralihan kepada pengeluaran berorientasikan eksport berikutan margin yang lebih tinggi, manakala aktiviti pemprosesan domestik menunjukkan penurunan," kata JHS lagi.
Sehubungan itu JHS menambah, langkah ini dijangka dapat mengimbangi semula sektor berkenaan dengan meningkatkan daya saing pemprosesan tempatan serta memperkukuh rantaian nilai industri kayu secara keseluruhan.
Kata JHS, pengeluaran dijangka stabil sekitar 1.73 juta meter padu setahun, sekali gus mencerminkan peningkatan keyakinan industri.
Dalam masa sama ujar JHS, Sarawak kekal komited terhadap pemulihan hutan dan kelestarian alam sekitar. Kerajaan Negeri giat melaksanakan Kempen Penghijauan Sarawak serta inisiatif Pemulihan Landskap Hutan (FLR) sebagai antara tonggak utama agenda alam sekitar.
"Bagi tempoh 2021 hingga 2025, lebih 57 juta pokok telah ditanam di seluruh Sarawak, sekali gus mencatat pencapaian penanaman pokok tertinggi di Malaysia. Usaha ini menyumbang kepada pemulihan landskap hutan terosot, pemeliharaan biodiversiti, peningkatan penyerapan karbon, perlindungan kawasan tadahan air serta memastikan kelestarian sumber hutan jangka panjang.
"Seiring itu, Sarawak turut memperkasa pembangunan hutan tanaman berskala besar bagi mengurangkan kebergantungan kepada kayu hutan semula jadi. Hutan tanaman ini menyediakan sumber bahan mentah mampan untuk industri kayu-kayan, selain menyokong penghasilan tenaga boleh diperbaharui melalui pelet kayu dan bioarang," kata JHS lagi.
Kerajaan Sarawak juga kata JHS menggalakkan pendekatan “sisa kepada tenaga” dengan menukar sisa kayu dan produk sampingan kepada sumber tenaga bernilai. Inisiatif ini meningkatkan kecekapan penggunaan sumber, mengurangkan pembaziran, mewujudkan peluang ekonomi baharu serta memperkukuh peralihan Sarawak ke arah ekonomi hijau dan kitaran.
"Walaupun menyediakan sokongan bersasar kepada pemain industri, Kerajaan Sarawak kekal komited terhadap pengurusan hutan secara lestari dan penggunaan sumber secara bertanggungjawab.
"Keputusan ini mencerminkan pendekatan pragmatik dan responsif dalam menangani cabaran ekonomi semasa, di samping memastikan sektor perhutanan kekal berdaya tahan, berdaya saing dan mampan demi masa depan Sarawak,” ujar Premier Sarawak yang dipetik dalam kenyataan sama.-EDISI UKAS