Sarawak Sasar 500,000 Tenaga Kerja Mahir Menjelang 2030
MIRI: Sarawak menetapkan sasaran untuk melahirkan 500,000 tenaga kerja mahir menjelang 2030, bersamaan 30 peratus daripada keseluruhan tenaga kerja negeri, sebagai langkah strategik memperkukuh pembangunan modal insan dan kesiapsiagaan ekonomi masa depan.
Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Sarawak, Dato Sri Roland Sagah Wee Inn berkata, usaha itu turut disokong melalui pengambilan tahunan seramai 10,600 pelajar ke universiti negeri, sekali gus memastikan kesinambungan bakat tempatan yang berkualiti dan relevan dengan keperluan industri.
Katanya, aspirasi tersebut selari dengan keperluan mendesak untuk menyediakan tenaga kerja berkemahiran tinggi dalam menghadapi landskap ekonomi yang semakin dinamik.
“Lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) perlu meneroka pelbagai laluan pendidikan termasuk melanjutkan pengajian ke institusi pengajian tinggi tempatan serta program Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET).
“TVET kini bukan lagi pilihan kedua, sebaliknya menjadi laluan utama dalam membina kerjaya yang berjaya,” katanya ketika berucap pada pelancaran sesi sulung Sistem Pesanan Kerjaya (SPEAK) 2026: Talent Bridge 2030, pada Rabu.
Beliau turut memaklumkan data Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) menunjukkan peningkatan ketara dalam trend penempatan tenaga kerja di Sarawak, dengan penempatan graduan TVET melonjak kepada lebih 12,800 orang pada 2025 berbanding 7,890 pada 2023.
Pada masa sama, graduan pengajian tinggi yang berjaya ditempatkan turut meningkat kepada lebih 8,400 orang, mencerminkan permintaan tinggi dalam sektor utama seperti pembuatan, perkhidmatan sosial dan transformasi digital.
“Data ini bukan sekadar angka, tetapi merupakan peta hala tuju yang menunjukkan di mana peluang berada dan ke mana kita perlu memfokuskan usaha,” jelasnya.
Mengulas lanjut, beliau berkata penganjuran SPEAK 2026 merupakan inisiatif strategik bagi memperkasa peranan Guru Bimbingan dan Kaunseling (GBK) dalam membimbing pelajar ke arah laluan kerjaya yang sejajar dengan keperluan industri semasa.
“Matlamat kita adalah memastikan setiap kaunselor sekolah dilengkapi, dihubungkan dan diperkasa untuk membimbing pelajar ke arah laluan kerjaya yang bermakna serta berimpak tinggi,” tambahnya.
Program dua hari itu melibatkan penyertaan kaunselor daripada 194 sekolah menengah kerajaan di seluruh Sarawak dan akan dilaksanakan di lima lokasi iaitu Miri, diikuti Sibu, Sri Aman, Serian serta berakhir di Kuching.
SPEAK 2026 turut mendapat kerjasama pelbagai agensi dan rakan industri termasuk PERKESO, TalentCorp, MARA, PETROS, CENTEXS dan Sarawak Skills dalam usaha memperkukuh ekosistem pembangunan bakat negeri.
Hadir sama Timbalan Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat, Datuk Francis Harden Hollis serta Setiausaha Tetap Kementerian Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Sarawak, Datu Adana Jed.-EDISI UKAS