Itali Teroka Peluang Kerjasama Dalam Sektor Tenaga Dan Aeroangkasa Di Sarawak
KUCHING: Itali menyatakan minat mereka untuk meneroka peluang kerjasama strategik dengan Sarawak khususnya dalam sektor tenaga dan aeroangkasa.
Duta Besar Itali ke Malaysia Rafaelle Langelle berkata, beberapa delegasi perniagaan dari Itali telah dijadualkan dan berpotensi dibawa ke Sarawak dalam masa terdekat bagi meninjau peluang pelaburan yang tersedia.
Ujarnya, antara menjadi keutamaan adalah sektor tenaga terutamanya meliputi infrastruktur dan teknologi bagi pengeluaran produk tenaga termasuk tenaga boleh diperbaharui.
"Kami sangat berminat dengan grid ASEAN serta semua projek yang berkait dengan projek mega ASEAN ini.
"Kami juga sangat aktif dalam biofuel dan ini telah menjadi salah satu keutamaan Kerajaan Sarawak. Ia semakin menjadi keperluan penting, berdasarkan keadaan semasa pasaran tenaga global," katanya.
Beliau bercakap demikian dalam sidang media selepas kunjungan hormat terhadap Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg di Kompleks Satria Pertiwi, di sini, pada Rabu.
Selain itu, beliau turut menekankan potensi kerjasama dalam sektor aeroangkasa yang mempunyai sejarah dan tradisi kukuh di Itali.
Ujarnya, ramai yang tidak tahu bahawa Itali merupakan negara ketiga di dunia yang melancarkan satelit ke angkasa sekitar 70 atau 80 tahun lalu selepas Amerika Syarikat dan USSR (kini dikenali sebagai Russia).
"Sejak itu, kami telah aktif dalam bidang tersebut selama beberapa dekad dan mempunyai industri aeroangkasa yang kukuh, yang juga merupakan sektor yang mendapat minat tinggi daripada Kerajaan Sarawak.
"Justeru, kita juga boleh bekerjasama dalam bidang tersebut," ujarnya.
Dalam pada itu, Rafaelle turut menyatakan, pihaknya amat berminat terutamanya reka bentuk tradisional, serta penghasilan pereka muda yang sangat aktif di negeri ini.
Ujarnya, golongan ini wajar diperkenalkan kepada pereka-pereka terkemuka Itali dalam usaha mengembangkan lagi industri rekaan antara kedua-dua pihak. -EDISI UKAS
Disediakan Oleh: Ahmad Daniel Faiz
Gambar: Shahril Haqim