Prihatin Tanpa Batas, Keluarga UKAS & Warga Media Terus Disantuni
KUCHING: Dalam suasana wad yang tenang, kehadiran seorang pemimpin membawa bersama sinar harapan buat sebuah keluarga yang sedang diuji.
Anak kepada kakitangan Unit Komunikasi Awam Sarawak (UKAS), Muhammad Rais Sanusi yang sedang menerima rawatan di Hospital Umum Sarawak (HUS) akibat masalah pernafasan menerima kunjungan Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Hal Ehwal Korporat, Penerangan dan UKAS), Datuk Abdullah Saidol pada Rabu.
Kunjungan tersebut bukan sekadar lawatan biasa, tetapi menjadi simbol keprihatinan dan sokongan moral kepada keluarga berkenaan yang sedang berdepan detik mencabar.
Datuk Abdullah bersama Pengarah UKAS, Awang Putrayusrie Awang Redzuan meluangkan masa menyantuni keluarga, menyampaikan kata-kata semangat serta menitipkan doa agar anak sulung berusia 28 tahun itu segera diberikan kesembuhan dan kembali sihat seperti sediakala.
Sentuhan kemanusiaan itu jelas menggambarkan nilai kekeluargaan yang terus subur dalam perkhidmatan awam negeri, di mana kebajikan warga kerja dan keluarga tidak pernah dipinggirkan.
Dalam lawatan sama, beliau turut menziarahi jurufoto Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) Sarawak, Razali Nordin yang kini sedang menerima rawatan akibat komplikasi penyakit.
Sebagai tanda sokongan dan penghargaan terhadap jasa beliau dalam dunia kewartawanan, Datuk Abdullah telah menyampaikan sumbangan peribadi serta sumbangan daripada Kelab Kebajikan Kakitangan UKAS.
Menurut beliau, sumbangan tersebut diharap dapat meringankan beban yang ditanggung selain menyuntik semangat untuk terus tabah menghadapi ujian kesihatan.
Razali, 54, yang telah menabur bakti lebih dua dekad dalam bidang kewartawanan, kini sedang menerima rawatan akibat komplikasi penyakit melibatkan injap jantung, batu karang, gangguan buah pinggang serta diabetes.
Di sebalik ujian yang dihadapi, doa dan sokongan yang dizahirkan diharapkan menjadi kekuatan buat kedua-dua pesakit dan keluarga untuk terus tabah menghadapi hari-hari mendatang.-EDISI UKAS