CATS FM Santuni Komuniti, Hulur Sumbangan Aidilfitri
KUCHING: Semangat Aidilfitri terus diraikan dengan penuh makna apabila golongan memerlukan disantuni melalui penyerahan sumbangan duit raya dalam Majlis Ramah Tamah Aidilfitri – Ohsem Raya di Dewan CATS FM, di sini, hari ini.
Sumbangan tersebut disampaikan oleh Timbalan Menteri Kesihatan Malaysia, Dato Hanifah Hajar Taib kepada penerima daripada beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO), termasuk pusat tahfiz Pondok Hidayatul Mubtadi-iin Wa Tahfidzul Quran, Pertubuhan Orang Cacat Sarawak, Persatuan Orang Pekak Sarawak dan Persatuan Orang Buta Sarawak.
Majlis anjuran CATS FM itu merupakan acara tahunan yang bertujuan mengeratkan ukhuwah serta hubungan silaturahim antara pihak stesen bersama rakan strategik dan para pendengar.
Pengurus Program CATS FM, Mohamad Fadzli Daud berkata, penganjuran majlis tersebut turut menjadi platform untuk mendekatkan diri dengan semua pihak yang sentiasa menyokong perjalanan stesen berkenaan.
“Program seperti ini bukan sahaja mengeratkan hubungan, malah mencerminkan komitmen CATS FM dalam memperkukuh jaringan komuniti serta menyokong aktiviti kebajikan dan kemasyarakatan di Sarawak,” katanya.
Majlis itu turut diserikan dengan kehadiran para tetamu jemputan serta wakil pelbagai agensi dan komuniti setempat.-EDISI UKAS
Disediakan oleh: Grace John Lee
Foto: Naseem Razali