Lawatan Pra Gawai Meradong perkukuh hubungan rakyat
MERADONG: Program Lawatan Pra Gawai hari kedua di DUN Meradong pada Selasa terus memperkukuh hubungan pemimpin dan rakyat, selain menzahirkan komitmen terhadap kebajikan masyarakat luar bandar.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Meradong, Datuk Ding Kuong Hiing berkata, pendekatan turun padang secara konsisten membolehkan beliau memahami keperluan sebenar rakyat, termasuk hasil lawatan ke rumah panjang di Nanga Stras dan Sungai Bakong.
“Setiap isu dapat difahami dengan lebih mendalam sebelum tindakan susulan diambil,” katanya.
Dalam lawatan itu, beliau bersama rombongan Sarawak United Peoples’ Party (SUPP) Cawangan Bintangor turut menyantuni penduduk serta menyampaikan sumbangan sempena sambutan Hari Gawai.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada ketua kaum, tuai rumah dan penduduk atas kerjasama diberikan, selain memaklumkan sokongan berterusan daripada Ahli Parlimen Sarikei merangkap ADUN Repok, Dato’ Sri Huang Tiong Sii dalam mempercepat pembangunan infrastruktur dan kemudahan asas di kawasan tersebut.-EDISI UKAS