Pembangunan Berimpak Rakyat Jadi Keutamaan di Opar
LUNDU: Pembangunan di kawasan Opar perlu dirancang berasaskan keperluan sebenar rakyat serta memberi manfaat langsung kepada penduduk setempat.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Opar, Billy Sujang berkata, kemudahan asas seperti jalan pertanian memainkan peranan penting dalam kehidupan harian penduduk luar bandar, khususnya dalam memudahkan pergerakan serta meningkatkan hasil ekonomi komuniti setempat.
“Kerajaan sentiasa memberi perhatian terhadap pembangunan luar bandar, terutamanya dari segi kemudahan asas yang memberi impak langsung kepada rakyat,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menghadiri Majlis Penyerahan Tapak Projek Program Transformasi Luar Bandar (RTP) bagi DUN N1 Opar di sini pada Khamis.
Dalam majlis tersebut, dua projek menaik taraf jalan pertanian dengan nilai keseluruhan RM330,000 telah diserahkan, melibatkan Projek Naiktaraf Jalan Pertanian Engkabang Batu, Kampung Biawak Fasa 2 bernilai RM180,000 serta Projek Naiktaraf Jalan Pertanian Jalan Samanar, Kampung Pasir Tengah bernilai RM150,000.
Dalam pada itu, beliau menegaskan setiap projek pembangunan perlu dirancang secara teliti agar benar-benar memenuhi keperluan rakyat dan tidak menjadi projek yang kurang memberi manfaat.
Beliau turut mengingatkan kepentingan aspek integriti dalam pelaksanaan projek kerajaan supaya setiap peruntukan awam dapat digunakan secara telus, berhemah dan berkesan.
Pada masa sama, beliau merakamkan penghargaan kepada pemimpin masyarakat serta penduduk setempat yang terus memberikan kerjasama dalam memastikan agenda pembangunan di kawasan Opar dapat dilaksanakan dengan lancar dan berkesan.-EDISI UKAS