18 Projek RTP Bernilai RM1.12 Juta Perkasa Pembangunan Meradong
MERADONG: Komitmen kerajaan dalam memperkasa pembangunan luar bandar terus dizahirkan menerusi pelaksanaan 18 projek Program Transformasi Luar Bandar (RTP) di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Meradong bagi tahun 2026, dengan jumlah keseluruhan peruntukan sebanyak RM1,121,500.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Meradong, Datuk Ding Kuong Hiing berkata, projek-projek tersebut akan dilaksanakan di bawah seliaan Majlis Daerah Meradong dan Julau, melibatkan pelbagai sektor termasuk menaik taraf kemudahan sekolah, pembaikan rumah panjang serta sokongan kepada pertubuhan bukan kerajaan (NGO).
Menurut beliau, lawatan dan tinjauan yang diadakan di sekitar Daerah Meradong baru-baru ini bertujuan meneliti sendiri lokasi projek serta memastikan setiap inisiatif yang diluluskan benar-benar memenuhi keperluan rakyat.
“Pendekatan turun padang amat penting bagi memahami situasi sebenar di lapangan, sekali gus membantu kita mengenal pasti keutamaan pembangunan serta memastikan peruntukan yang disalurkan memberi impak maksimum kepada komuniti setempat,” katanya ketika ditemui selepas meninjau Projek RTP di bawah konstituensinya pada Rabu.
Beliau menegaskan bahawa RTP merupakan antara inisiatif utama kerajaan dalam merapatkan jurang pembangunan antara kawasan bandar dan luar bandar, selain meningkatkan kualiti hidup rakyat melalui penyediaan kemudahan yang lebih baik, selesa dan selamat.
Dalam pada itu, beliau mengingatkan semua pihak terlibat agar setiap projek dilaksanakan mengikut spesifikasi serta garis masa yang ditetapkan bagi mengelakkan sebarang kelewatan atau ketirisan.
“Kerjasama erat antara agensi pelaksana, kontraktor serta komuniti setempat amat penting bagi memastikan setiap projek berjalan lancar dan mencapai objektif yang disasarkan,” ujarnya.
Tambah beliau, cabutan undi bagi menentukan pelaksanaan projek-projek RTP berkenaan akan diadakan dalam masa terdekat sebagai langkah memastikan ketelusan dalam pemilihan kontraktor.
Pada masa sama, pemantauan berterusan akan dilaksanakan dari semasa ke semasa bagi memastikan semua projek berjalan mengikut perancangan, selain membolehkan sebarang isu ditangani segera tanpa menjejaskan kemajuan pelaksanaan. -EDISI UKAS