Insentif Dorong Kecemerlangan Pelajar, Lahir Generasi Berprestasi Tinggi
SIBU: Pemberian insentif kepada pelajar cemerlang menjadi pemangkin utama dalam melahirkan generasi berprestasi tinggi, selaras dengan komitmen Kerajaan Sarawak memperkukuh pembangunan modal insan berkualiti.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Assek, Chieng Jin Ek menegaskan bahawa kejayaan akademik yang diraih pelajar bukanlah sesuatu yang berlaku secara kebetulan, sebaliknya lahir daripada ketekunan, disiplin serta usaha berterusan.
“Pencapaian yang diperoleh hari ini adalah hasil dedikasi dan kerja keras anda. Anugerah ini bukan sahaja sebagai pengiktirafan, malah menjadi dorongan untuk terus mencapai tahap yang lebih tinggi,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Penyampaian Insentif Kecemerlangan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2025 di Sekolah Menengah Katolik Sibu, pada Rabu.
Dalam majlis tersebut, seramai 12 pelajar menerima insentif kecemerlangan dengan jumlah keseluruhan sebanyak RM3,900 sebagai tanda penghargaan terhadap pencapaian akademik mereka.
Dalam perkembangan lain, Chieng turut memaklumkan bahawa Kerajaan Sarawak telah melaksanakan skim pendidikan tinggi percuma bermula tahun ini di bawah kepimpinan Premier Sarawak sebagai langkah strategik memperluas akses pendidikan.
Menurutnya, inisiatif tersebut membolehkan pelajar yang melanjutkan pengajian di empat universiti di negeri ini menikmati pengecualian penuh yuran pengajian, termasuk dalam bidang kritikal seperti perubatan, undang-undang dan Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM).
“Polisi ini turut merangkumi pelajar dari sekolah menengah persendirian Cina. Selagi memenuhi syarat ditetapkan, mereka layak memohon kemasukan.
“Inisiatif ini bukan sahaja mengurangkan beban kewangan keluarga, malah membuka lebih banyak peluang kepada anak Sarawak untuk melanjutkan pengajian ke peringkat lebih tinggi,” ujarnya. -EDISI UKAS