PPRS Bantu Tingkat Taraf Hidup Penduduk Luar Bandar di Beluru
BELURU: Program Perumahan Rakyat Sejahtera (PPRS) yang telah siap dilaksanakan di Daerah Beluru menjadi bukti komitmen kerajaan dalam membantu golongan memerlukan memiliki kediaman sendiri.
Simbolik penyerahan kunci rumah telah dilaksanakan pada Selasa oleh Pegawai Daerah Beluru, Charles Aloysius Lisu di dua buah rumah penerima.
Turut hadir, Penolong Pengarah Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) Negeri Sarawak, Kristine Enya Belaja, wakil Jabatan Kerja Raya (JKR) Bahagian Miri, Siti Nadzira Kiprawi, wakil Jabatan Bekalan Air Luar Bandar (JBALB), Mohd Nazri serta Pegawai Tadbir Pejabat Daerah Beluru, Marliney Igil bersama kakitangan agensi berkaitan.
Bagi pelaksanaan tahun ini, seramai lapan penerima telah menerima rumah bina baharu, manakala 26 keluarga lagi menerima bantuan baik pulih rumah di bawah program sama.
Pejabat Daerah Beluru bertindak sebagai agensi pelaksana utama bagi memastikan setiap projek berjalan lancar serta mencapai sasaran yang ditetapkan.
Salah seorang penerima, Ebi Palong, meluahkan rasa syukur dan penghargaan kepada kerajaan atas bantuan yang diberikan.
Menurut beliau, rumah baharu yang diterima bukan sahaja lebih selesa, malah memberikan jaminan keselamatan yang lebih baik kepada beliau sekeluarga.
Pelaksanaan PPRS dilihat sebagai inisiatif penting dalam meningkatkan taraf hidup masyarakat luar bandar, khususnya dalam menyediakan kediaman yang selamat dan berkualiti kepada golongan berpendapatan rendah.
Dalam masa sama, kunjungan tersebut turut menjadi platform pemantauan berterusan oleh agensi berkaitan bagi memastikan setiap projek dilaksanakan mengikut jadual serta spesifikasi yang telah ditetapkan sebelum diserahkan kepada penerima.-EDISI UKAS