ADUN Batu Danau Ziarahi Keluarga Berduka di Kampung Merasam Ulu
LIMBANG: Kesibukan menjalankan tugas sebagai wakil rakyat tidak menghalang Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Danau, Dato Paulus Palu Gumbang menziarahi sebuah keluarga di Kampung Merasam Ulu (Pucuk Manggis) yang diuji dengan musibah kematian.
Kehadiran beliau pada Selasa bukan sahaja bagi memberikan penghormatan terakhir kepada si mati, malah sebagai tanda sokongan moral kepada keluarga yang sedang melalui detik sukar.
Dalam kunjungan tersebut, beliau turut meluangkan masa menyantuni ahli keluarga si mati serta beramah mesra dengan penduduk kampung yang hadir.
Sebagai tanda keprihatinan, beliau turut menyampaikan sumbangan kepada waris bagi membantu meringankan beban yang ditanggung keluarga berkenaan.
Turut hadir, Kaunselor Elvis Mathew Bungsu dan Kaunselor Aaron Rachel Palu, masing-masing Ahli Majlis Daerah Limbang, serta Ketua Kampung Merasam Ulu, Kamis Apong dan Ketua Kampung Tedungan, Edwin Yakut.
Kehadiran pemimpin di peringkat akar umbi ini mencerminkan komitmen berterusan kerajaan dalam memastikan kebajikan rakyat sentiasa diberi perhatian, khususnya ketika berdepan saat-saat kesedihan.-EDISI UKAS