UKAS & MLGH Perkukuh Sinergi, Mantapkan Penyampaian Maklumat Kepada Rakyat
KUCHING: Sinergi antara agensi terus diperkukuh apabila Unit Komunikasi Awam Sarawak (UKAS) mengadakan kunjungan hormat ke Kementerian Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan (MLGH) bagi memperkasa penyampaian dasar dan inisiatif kerajaan kepada rakyat.
Kunjungan UKAS kepada Setiausaha Tetap MLGH yang diwakili Timbalan Setiausaha Tetap, Desmond Douglas Jerukan pada Rabu itu diketuai oleh Pengarah UKAS, Awang Putrayusrie Awang Redzuan bersama rombongan.
Pertemuan tersebut memberi tumpuan kepada perbincangan hala tuju kerjasama strategik antara kedua-dua pihak, khususnya dalam mempertingkatkan keberkesanan penyampaian maklumat berkaitan dasar serta inisiatif kerajaan kepada rakyat Sarawak.
Selain itu, perbincangan turut menyentuh isu-isu semasa termasuk permasalahan papan iklan (billboard) di beberapa lokasi serta cadangan peruntukan bagi kerja-kerja baik pulih di kawasan terlibat.
Langkah itu dilihat sebagai pendekatan proaktif dalam memastikan isu berkaitan komunikasi awam dan infrastruktur dapat ditangani secara lebih tersusun, sekali gus meningkatkan kecekapan penyampaian perkhidmatan kerajaan.
Turut hadir ialah pegawai-pegawai kanan kementerian tersebut.-EDISI UKAS