Masyarakat Diseru Waspada Provokasi Gugat Keharmonian
SRI AMAN: Masyarakat diseru agar lebih berwaspada dan tidak mudah terpengaruh dengan provokasi yang boleh menggugat keharmonian negeri, khususnya yang disebarkan melalui media sosial.
Ahli Parlimen Batang Lupar, Mohd Shafizan Kepli berkata, keharmonian yang dinikmati hari ini perlu terus dipelihara dan diperkasakan.
“Terdapat pihak tidak bertanggungjawab yang cuba melaga-lagakan perpaduan kaum, justeru rakyat perlu sentiasa berfikiran rasional dan menilai setiap maklumat yang diterima,” katanya berucap dalam Majlis Ramah Tamah Aidilfitri di Dewan Suarah Sri Aman pada Rabu.
Tambahnya, dengan krisis cabaran global termasuk konflik antarabangsa yang memberi kesan kepada ekonomi dan kestabilan sosial, negara memerlukan perpaduan yang lebih kukuh dalam usaha menghadapi sebarang cabaran yang mendatang.
Sementara itu dalam ucapan aluan, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lingga Dayang Noorazah Awang Sohor berkata, hubungan mesra yang terjalin dalam komuniti perlu terus dipupuk dan dikekalkan demi kesejahteraan bersama.
“Sri Aman merupakan contoh terbaik sebuah kawasan yang dihuni oleh masyarakat pelbagai kaum yang hidup dalam suasana harmoni.
“Justeru, perpaduan antara kaum harus sentiasa dipelihara agar kestabilan sosial dapat dikekalkan,” ujarnya.
Dalam pada itu, beliau turut memaklumkan Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg sentiasa memberi perhatian terhadap pembangunan di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Lingga, seiring dengan pembangunan di kawasan lain di negeri ini.
Jelasnya, walaupun pembangunan infrastruktur khususnya jalan raya di Sri Aman masih belum mencapai tahap 100 peratus namun usaha ke arah itu sentiasa diteruskan dan menunjukkan perkembangan yang positif.
Sehubungan itu, beliau berharap agar penduduk setempat terus bersabar dan memberi sokongan terhadap usaha pembangunan yang sedang dilaksanakan oleh kerajaan. -EDISI UKAS