Sokongan Rakyat Penting Jayakan Pembangunan Sarawak
KUCHING: Sokongan dan kerjasama masyarakat amat penting dalam memastikan setiap projek pembangunan kerajaan dapat dilaksanakan dengan lancar dan berkesan.
Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Penyelaras Projek Untuk Agensi Pembangunan Wilayah, DBKU Dan Hal Ehwal Islam) merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pantai Damai, Datuk Dr Abdul Rahman Junaidi berkata, kejayaan pembangunan bukan sahaja bergantung kepada perancangan kerajaan, malah memerlukan peranan pemimpin dan masyarakat untuk bersama-sama menyokong setiap inisiatif yang dilaksanakan.
“Selain perancangan pembangunan oleh kerajaan, usaha kita sebagai pemimpin untuk mengajak masyarakat menyokong insiatif ini amat penting agar ia dapat dilaksanakan dengan baik,” katanya ketika berucap dalam Majlis Ramah Tamah Aidilfitri Zon Santubong di Kampung Pasir Pandak, pada Rabu.
Tambahnya, Kerajaan Sarawak memberi tumpuan kepada pembangunan menyeluruh, merangkumi kawasan bandar dan luar bandar termasuk kawasan Pantai Damai.
Jelasnya lagi, usaha menjadikan Sarawak sebagai wilayah maju menjelang tahun 2030 memerlukan kerjasama semua pihak serta penyampaian maklumat yang jelas kepada rakyat mengenai pelbagai inisiatif yang telah dan sedang dilaksanakan. -EDISI UKAS