16,000 Akses QR Bukti Kejayaan Pendekatan Turun Padang Program SKS
LIMBANG: Sebanyak 16,000 akses QR yang direkodkan sepanjang penganjuran Program Sarawakku Sayang (SKS) 2026 Bahagian Limbang pada hujung minggu lepas menjadi bukti jelas keberkesanan pendekatan turun padang kerajaan dalam menyampaikan perkhidmatan terus kepada rakyat.
Timbalan Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah Sarawak merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Kota, Datuk Dr Abdul Rahman Ismail berkata, pencapaian itu mencerminkan tahap penerimaan tinggi masyarakat terhadap inisiatif kerajaan yang menumpukan kepada penyampaian perkhidmatan secara terus di lapangan.
Menurut beliau, program tersebut membuktikan pendekatan turun padang merupakan kaedah paling berkesan dalam memastikan rakyat mendapat akses terus kepada perkhidmatan kerajaan tanpa halangan birokrasi, di samping mempercepatkan urusan serta meningkatkan kecekapan sistem penyampaian perkhidmatan awam secara menyeluruh.
Beliau berkata demikian ketika ditemui media pada Majlis Ramah Tamah Aidilfitri Ahli-Ahli Majlis bersama warga kerja Majlis Daerah Limbang, pada Rabu.
Dalam pada itu, jumlah keseluruhan pengunjung dianggarkan antara 25,000 hingga 30,000 orang termasuk kehadiran dari negara jiran Brunei, sekali gus mengukuhkan kedudukan Limbang sebagai lokasi strategik yang menarik kehadiran serantau.
Lebih signifikan, program berkenaan turut menjana impak ekonomi ketara apabila jualan di Limbang Kitchen mencecah sekitar RM196,000 dalam tempoh tiga hari, selain merancakkan aktiviti perniagaan tempatan termasuk sektor makanan, peruncitan dan penginapan.
Mengulas perbandingan dengan Program Sejiwa Senada, beliau menjelaskan bahawa faktor sekatan pergerakan rentas sempadan memberi kesan kepada jumlah kehadiran, namun tidak menjejaskan keberkesanan keseluruhan program.
Sementara itu, siri jelajah Program SKS akan diteruskan ke Miri pada minggu hadapan sebelum berakhir di Kuching pada November ini.
Tegas beliau, kejayaan penganjuran di Limbang memperkukuh komitmen kerajaan untuk terus memperluas pendekatan turun padang sebagai strategi utama dalam memastikan penyampaian perkhidmatan yang lebih efisien, inklusif dan berimpak tinggi kepada rakyat.
Hadir sama Pengerusi Majlis Daerah Limbang Sufian Mohat, Setiausaha Majlis Daerah Limbang Michelle Hildalyne Jering Anthony Luta, wakil Residen Bahagian Limbang Aspalela Mohamad Sahmoni, Penguasa Tanah Jabatan Tanah dan Survei Bahagian Limbang Bakeri Samsudin serta Ahli-Ahli Majlis Daerah Limbang. — EDISI UKAS