Sarikei Innovation Leap 2026 Lonjak Kecekapan, Percepat Transformasi Digital Sektor Awam
SARIKEI: Usaha memperkasa transformasi digital sektor awam di Bahagian Sarikei dipacu lebih agresif menerusi penganjuran Sarikei Innovation Leap 2026, satu platform berimpak tinggi yang menzahirkan pendekatan baharu dalam mempercepat penyelesaian masalah, meningkatkan produktiviti serta memperkukuh mutu penyampaian perkhidmatan kepada rakyat.
Program yang berlangsung dari 6 hingga 10 April 2026 itu menghimpunkan pegawai dari Sarikei, Julau, Pakan dan Meradong dalam satu ekosistem inovasi berstruktur, dengan fokus mengenal pasti cabaran operasi sebenar, memperincikan punca isu serta membangunkan solusi praktikal yang boleh diuji dan diperluas pelaksanaannya.
Majlis penutupan dan pembentangan akhir telah disempurnakan oleh Residen Bahagian Sarikei, Datu Michael Ronnie Langgong yang menegaskan bahawa inovasi dan pendigitalan kini menjadi pemangkin utama dalam memperkukuh sistem penyampaian kerajaan agar lebih cekap, responsif dan berorientasikan hasil.
Menurut beliau, pendekatan intensif yang digarap dalam program ini membolehkan pegawai bergerak secara sistematik daripada fasa pengenalpastian cabaran kepada pembangunan penyelesaian dalam tempoh singkat, sekali gus mengasah pemikiran kritikal, mempercepat pengujian idea serta memastikan setiap solusi yang dihasilkan benar-benar berdaya laksana.
“Pendekatan ini bukan sahaja meningkatkan kecekapan dalaman, malah memastikan impak yang lebih ketara dapat dirasai oleh rakyat melalui penyampaian perkhidmatan yang lebih pantas dan efektif,” katanya.
Inisiatif tersebut turut mencerminkan komitmen berterusan Pejabat Residen Bahagian Sarikei bersama Pusat Inovasi Sarikei (SIC) dalam menjadikan inovasi sebagai keupayaan teras Perkhidmatan Awam Sarawak, selari dengan agenda memperkukuh budaya penyelesaian masalah dan mempercepat penggunaan digital.
Program ini dilaksanakan melalui kerjasama strategik antara Pejabat Residen Bahagian Sarikei dan SIC yang diuruskan oleh iCube Innovation, sekali gus memperkukuh kualiti pelaksanaan inisiatif inovasi serta membina ekosistem perkhidmatan awam yang lebih tangkas, adaptif dan bersedia mendepani cabaran masa hadapan.
Dalam pada itu, Datu Michael Ronnie turut menyeru semua jabatan dan agensi di bahagian ini agar mengekalkan momentum yang dicapai serta terus membudayakan inovasi sebagai amalan kerja harian, demi memperkukuh prestasi organisasi dan memberi impak yang lebih menyeluruh kepada rakyat Sarikei.-EDISI UKAS