Projek Rumah Panjang Terpanjang di Sarikei Terima Pinjaman RM2.19 Juta
SARIKEI: Rumah Panjang Lingga Ujang di Selangan yang merupakan antara rumah panjang terpanjang di kawasan ini menerima kelulusan Skim Pinjaman Rumah Panjang berjumlah RM2.19 juta melalui Perbadanan Pembangunan Perumahan (HDC) bagi tujuan pembinaan semula.
Kelulusan pinjaman itu berjaya diperoleh hasil usaha Timbalan Menteri Perladangan Dan Komoditi merangkap Ahli Parlimen Sarikei serta Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Repok, Dato Sri Huang Tiong Sii.
Projek melibatkan 73 pintu dengan setiap pintu menerima pinjaman sebanyak RM30,000 dan kini hampir siap sepenuhnya.
Selain pembinaan semula rumah panjang tersebut, kemudahan infrastruktur turut dipertingkatkan apabila jalan tar sepanjang 300 meter dengan lebar enam meter telah diturap di hadapan rumah panjang berkenaan bagi keselesaan penduduk.
Menurut beliau, projek tersebut bakal memberi wajah baharu yang lebih moden dan selesa kepada penduduk.
“Dengan siapnya projek ini nanti, rumah panjang tersebut akan tampil lebih moden, selesa dan menarik,” katanya ketika mengadakan lawatan ke tapak projek HDC di Rumah Panjang Lingga.
Beliau turut menggalakkan penduduk yang masih menetap di rumah panjang lama agar memohon Skim Pinjaman Rumah Panjang melalui HDC untuk tujuan pembinaan semula.
“Saya akan terus membantu dan menyokong proses permohonan serta berusaha mendapatkan kelulusan pinjaman melalui HDC demi meningkatkan taraf hidup penduduk rumah panjang,” ujarnya.
Tambah beliau, pembinaan rumah baharu adalah lebih praktikal berbanding membaik pulih rumah lama yang memerlukan penyelenggaraan kerap setiap tahun.
“Rumah panjang lama walaupun dibaikipulih berkali-kali tetap tidak dapat bertahan lama.
"Pembinaan rumah baharu lebih tahan lama serta dapat mengurangkan kos penyelenggaraan pada masa hadapan,” jelasnya.
Dalam pada itu, Tuai Rumah Lingga Ujang merakamkan penghargaan kepada Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg atas kepimpinan beliau dalam membawa pembangunan pesat di kawasan Sarikei dan Meradong sehingga meningkatkan taraf hidup rakyat.
Beliau turut menzahirkan penghargaan kepada Dato Sri Huang atas usaha dan komitmen membantu mendapatkan kelulusan pinjaman HDC sehingga projek pembinaan semula tersebut berjaya direalisasikan, sekali gus memberikan kehidupan yang lebih selesa dan selamat kepada penduduk.-EDISI UKAS