Program Sarawakku Sayang Miri sasar 20,000 pengunjung, perkukuh hubungan kerajaan-rakyat
MIRI: Program Sarawakku Sayang (SKS) 2026 di Stadium Miri dari 24 hingga 26 April ini bukan sekadar penganjuran acara, sebaliknya menjadi platform strategik Kerajaan Sarawak untuk memperkukuh hubungan dengan rakyat serta menyampaikan agenda pembangunan secara terus di peringkat akar umbi.
Jelajah kedua program selepas Limbang itu menyasarkan kehadiran sekitar 20,000 pengunjung dan akan dirasmikan oleh Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg pada 25 April.
Pengerusi Jawatankuasa Pengelola SKS Bahagian Miri merangkap Residen Bahagian Miri, Galong Luang berkata pendekatan mendekati rakyat melalui platform seumpama ini amat penting dalam memastikan penyampaian maklumat kerajaan lebih berkesan dan inklusif.
Beliau menjelaskan program tersebut menghimpunkan perkhidmatan kerajaan, maklumat pembangunan serta aktiviti komuniti dalam satu platform yang membolehkan rakyat berinteraksi secara langsung dengan agensi kerajaan.
Galong berkata demikian ketika ditemubual dalam Program Sarawakku Sayang bersama Mirifm di Konti Radio Televisyen Malaysia (RTM) Miri, pada Khamis.
Menurutnya, program tersebut turut berperanan memperkukuh kepercayaan rakyat terhadap kerajaan selain memupuk semangat kebersamaan selaras dengan slogan “Sarawakku Sayang”.
Beliau turut memaklumkan sasaran kehadiran sekitar 20,000 pengunjung termasuk dari Baram, Sibuti dan Bintulu sepanjang tiga hari program berlangsung.
Dalam masa sama, beliau berkata pengunjung berpeluang menyaksikan pengumuman penting oleh Premier Sarawak yang dijangka memberi impak langsung kepada rakyat.
Pelbagai pengisian berimpak tinggi turut disusun termasuk Sarawak Pavilion yang menempatkan pameran dan perkhidmatan pelbagai agensi kerajaan, membolehkan rakyat mendapatkan perkhidmatan secara terus di satu lokasi.
Selain itu, lebih 80 usahawan tempatan akan terlibat dalam ‘Miri Kitchen’ dan gerai jualan, sekali gus memperkukuh ekosistem ekonomi tempatan.
Program turut menampilkan sesi Pocket Talk yang memfokuskan isu ekonomi semasa Sarawak oleh Unit Perancang Ekonomi Sarawak (EPU) serta aspek keusahawanan oleh Timbalan Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak, Datuk Dr Ripin Lamat.
Turut menjadi tarikan ialah Malam Kebudayaan Sarawak dan Pentas Rakyat yang mengetengahkan kepelbagaian budaya serta bakat tempatan, selain aktiviti komuniti seperti SKS Fun Run 3 kilometer, senamrobik, pertandingan rakyat dan aktiviti kekeluargaan.
Dalam pada itu, Galong menegaskan program ini terbuka kepada orang ramai dengan kemasukan percuma serta kemudahan tempat letak kereta disediakan, selain usaha menyediakan perkhidmatan bas percuma bagi memudahkan kehadiran pengunjung.
Tambahnya, pelaksanaan promosi secara menyeluruh melalui pelbagai platform termasuk penstriman langsung di Facebook dan YouTube UKAS membolehkan capaian program diperluas kepada masyarakat.
Beliau berharap penganjuran program itu bukan sahaja meningkatkan kefahaman rakyat terhadap inisiatif pembangunan kerajaan, malah terus mengukuhkan perpaduan dan kepercayaan rakyat terhadap kepimpinan negeri.-EDISI UKAS