Dato Sri Huang Turun Padang Lawat Penduduk Rumah Panjang
SARIKEI: Timbalan Menteri Perladangan Dan Komoditi merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Repok, Dato Sri Huang Tiong Sii, meneruskan aktivitinya menjenguk rakyat di kawasannya melalui lawatan mesra di beberapa rumah panjang sekitar Selangan, Jalan Kwong Ming/Minah, Bulat dan Sungai Stok baru-baru ini.
Lawatan mesra anjuran Pusat Khidmat Wakil Rakyat N.45 Repok itu diadakan sepanjang dan diketuai sendiri oleh Dato Sri Huang yang juga Ahli Parlimen Sarikei.
Sepanjang lawatan tersebut, beliau mengunjungi beberapa rumah panjang termasuk RH Ugil Ak Rebai, RH Rampai Ak Timbang, RH Gimang Ak Jandan, RH Awan Ak Chandang dan RH Entagau Ak Kasi bagi mendekati penduduk serta meninjau keperluan setempat.
Beliau turut meneliti perkembangan Projek Transformasi Luar Bandar (RTP) dan aprojek Kecil Luar Bandar (MRP) yang dilaksanakan melalui peruntukan kerajaan.
Dalam program sama, sebanyak 158 pintu rumah panjang menerima Projek Pintu yang disampaikan secara simbolik kepada wakil penduduk.
Menurut beliau, lawatan turun padang amat penting bagi memastikan setiap projek yang dirancang benar-benar memberi manfaat kepada rakyat.
“Lawatan seperti ini penting untuk saya mendengar pandangan rakyat serta melihat perkembangan projek yang dilaksanakan supaya ia benar-benar memberi manfaat kepada penduduk,” katanya.
Tambahnya, kerajaan sentiasa memberi perhatian terhadap pembangunan kawasan luar bandar termasuk rumah panjang, demi meningkatkan taraf hidup rakyat secara menyeluruh.
“Kita akan terus memantau pelaksanaan projek agar setiap peruntukan digunakan dengan berkesan dan sampai kepada golongan sasaran,” ujarnya lagi.
Dalam lawatan sama, beberapa tuai rumah dari kawasan berhampiran turut hadir antaranya TR Simon Ak Tedong, TR Saka Ak Angin, TR Awang Ak Ujieh, TR Nanggai Ak Jawan dan TR Federyson Ho.
Sementara itu, Tuai Rumah Ugil merakamkan penghargaan atas usaha berterusan kerajaan membawa pembangunan ke kawasan rumah panjang, khususnya di bawah kepimpinan Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg.
Beliau berkata, pelbagai peruntukan telah disalurkan untuk kawasan Sarikei yang bukan sahaja meningkatkan kemudahan jalan raya di bandar dan luar bandar, malah memperkukuh kemudahan asas di rumah panjang demi kesejahteraan rakyat pelbagai kaum.
Turut hadir, Penghulu Huang Tiong Kang, Penyelaras Zon D merangkap Pengerusi Persatuan Tuai-tuai Rumah, Tr. Pitre Ambit, Tr. Clement (Zon C), Tr. Keli Ak Angai (Zon B1), Tr. Anthony Ak Suding (Zon A) serta Kapitan Ling Dien Yong.