Majlis Raya Serumpun Shell Malaysia Perkukuh Jalinan Korporat-Komuniti di Bintulu
BINTULU: Penganjuran Majlis Raya Serumpun Shell Malaysia Hari Raya Bintulu 2026 menjadi wadah penting dalam memperkukuh hubungan antara sektor korporat dan komuniti setempat, sekali gus menyemarakkan semangat perpaduan sempena Aidilfitri.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jepak, Iskandar Turkee berkata, pendekatan santai melalui penganjuran majlis seumpama ini dilihat berupaya merapatkan jurang antara masyarakat, pemimpin dan pihak industri, di samping membuka ruang interaksi yang lebih terbuka serta bermakna.
Katanya, majlis tersebut bukan sekadar sambutan perayaan, sebaliknya memainkan peranan signifikan dalam mengeratkan silaturahim serta memperkukuh jaringan kerjasama pelbagai pihak.
“Pendekatan santai seperti ini membolehkan interaksi lebih terbuka antara masyarakat, pemimpin dan pihak industri.
“Ia juga memberi ruang untuk kita mendengar sendiri pandangan serta harapan rakyat terhadap pembangunan kawasan,” katanya ketika ditemui pada majlis tersebut yang diadakan di Imperial Hotel, Bintulu pada Rabu.
Tegasnya lagi, penglibatan aktif syarikat korporat dalam program kemasyarakatan menyumbang kepada pembangunan sosial yang lebih inklusif dan seimbang.
Dalam pada itu, suasana sambutan Aidilfitri yang meriah dengan kehadiran pelbagai lapisan masyarakat jelas mencerminkan keharmonian serta semangat muhibah yang kukuh dalam kalangan komuniti di Bintulu.
Sepanjang majlis, para tetamu disajikan dengan pelbagai juadah tradisional Hari Raya serta persembahan nyanyian yang menceriakan suasana, sekali gus mengukuhkan lagi hubungan silaturahim yang terjalin.
Iskandar turut merakamkan penghargaan kepada Shell Malaysia atas komitmen berterusan dalam mendekati masyarakat melalui penganjuran program seumpama ini.
“Usaha ini wajar diteruskan kerana ia membantu membina hubungan berasaskan kepercayaan serta menyokong keharmonian komuniti,” ujarnya.
Majlis tersebut menghimpunkan warga kerja, rakan strategik serta komuniti setempat dalam suasana penuh muhibah, sekali gus memperteguh peranan acara seumpama ini sebagai platform penyatuan masyarakat dan pemacu pembangunan sosial di peringkat akar umbi.-EDISI UKAS