Penjawat Awam Tonggak Kepercayaan Rakyat Dalam Ketidaktentuan Global
KUCHING: Dalam landskap dunia yang semakin tidak menentu, penjawat awam diseru tampil sebagai tonggak utama dalam mempertahankan kepercayaan rakyat, dengan menjadikan perpaduan sebagai kekuatan teras dalam setiap aspek penyampaian perkhidmatan.
Datuk Bandar Kuching Selatan, Dato Wee Hong Seng menegaskan bahawa perpaduan bukan sekadar slogan, sebaliknya satu “perjuangan berterusan” yang perlu dizahirkan melalui tindakan harian, khususnya ketika rakyat berdepan tekanan kos sara hidup dan cabaran global yang kian kompleks.
Menurut beliau, keutamaan ketika ini bukan hanya tertumpu kepada sambutan perayaan, tetapi memastikan keyakinan rakyat terhadap institusi dan perkhidmatan awam terus kukuh.
“Ini bukan pertempuran dengan senjata, tetapi perjuangan untuk memenangi hati rakyat dan mempertahankan kepercayaan mereka,” katanya ketika berucap semasa Majlis Gong Xi Raya Majlis Bandaraya Kuching Selatan (MBKS) pada Khamis.
Majlis tersebut turut dihadiri Timbalan Datuk Bandar MBKS, Dato’ Dr Zaiedi Suhaili, Setiausaha Bandaraya Pemangku MBKS Wong Ming Kong, warga kerja MBKS serta orang awam.
Mengulas lanjut, beliau berkata konsep Gong Xi Raya yang menggabungkan sambutan Tahun Baharu Cina dan Hari Raya Aidilfitri membawa mesej jelas bahawa perpaduan di Kuching bukan bersifat simbolik, sebaliknya prinsip asas yang perlu dipertahankan tanpa kompromi.
“Dalam dunia yang sering memisahkan, kita memilih untuk terus menyatukan,” ujarnya.
Dalam pada itu, beliau mengingatkan bahawa ketidaktentuan ekonomi global dan konflik antarabangsa memberi kesan langsung kepada kesejahteraan rakyat di peringkat tempatan, sekali gus menuntut tahap kecekapan, empati dan keprihatinan yang lebih tinggi dalam kalangan penjawat awam.
Sehubungan itu, Dato Wee menegaskan bahawa setiap tindakan dan keputusan, walaupun kecil, mempunyai impak besar dalam membina kepercayaan rakyat serta memperkukuh hubungan antara kerajaan dan masyarakat.
“Perpaduan mesti diamalkan dan dipertahankan, manakala kepimpinan bukan soal kuasa, tetapi kepercayaan yang dibina setiap hari,” katanya.
Mengakhiri ucapan, beliau menyeru seluruh warga MBKS untuk terus memperkukuh integriti, profesionalisme dan semangat kebersamaan agar perpaduan kekal utuh walau berdepan apa jua cabaran.
“Di Kuching, perpaduan bukan sekadar diwarisi, tetapi diperkukuh melalui tindakan harian dan di situlah terletaknya kekuatan sebenar dalam memenangi kepercayaan rakyat,” tegasnya.-EDISI UKAS