SKAS Pacu Perbelanjaan Rakyat, Bantuan Kerajaan Sarawak Legakan SME
MIRI: Dewan Usahawan Bumiputera Sarawak (DUBS) Cawangan Miri menyambut baik pengumuman pakej bantuan oleh Kerajaan Sarawak dalam usaha menangani ketidaktentuan ekonomi global semasa, sambil menegaskan keperluan untuk memberi perhatian berterusan kepada sektor perusahaan kecil dan sederhana (SME).
Pengerusi DUBS Miri, Mohammad Hafidz Rohani berkata, pihaknya merakamkan penghargaan kepada kerajaan negeri di bawah kepimpinan Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg atas langkah meningkatkan kadar Sumbangan Keperluan Asas Sarawak (SKAS), yang disifatkan sebagai pendekatan signifikan dalam membantu meringankan beban kos sara hidup rakyat.
Menurutnya dalam kenyataan pada Khamis, peningkatan SKAS bukan sahaja memberi manfaat langsung kepada isi rumah berpendapatan rendah dan sederhana, malah dijangka merangsang ekonomi domestik melalui peningkatan perbelanjaan pengguna.
Kesan limpahan ini diyakini mampu menghidupkan kembali aktiviti ekonomi tempatan apabila kuasa beli rakyat diperkukuh, ujarnya.
Tambahnya, peningkatan SKAS merupakan langkah tepat dalam membantu rakyat serta merangsang perbelanjaan domestik.
“Peningkatan SKAS adalah langkah tepat dalam membantu rakyat dan merangsang perbelanjaan domestik. Dalam masa yang sama, kami berharap agar sokongan kepada sektor SME turut dipertimbangkan, khususnya dalam aspek kos utiliti seperti elektrik bagi premis komersial supaya ekosistem ekonomi dapat bergerak secara lebih seimbang,” katanya.
Pada masa yang sama, beliau menegaskan bahawa sektor SME memainkan peranan penting sebagai tulang belakang ekonomi tempatan serta penyumbang utama kepada peluang pekerjaan, justeru memerlukan sokongan berterusan daripada kerajaan.
Sementara itu, Timbalan Pengerusi DUBS Miri, Dr Abdul Aziz Abdul Rahim berkata, kuasa beli rakyat perlu terus diperkukuh bagi memastikan kelangsungan aktiviti perniagaan di peringkat akar umbi.
“Dengan bantuan seperti SKAS, rakyat diharap dapat meningkatkan perbelanjaan bukan sahaja untuk keperluan asas, malah turut menyokong sektor lain dalam ekonomi tempatan,” jelasnya.
Dalam pada itu, DUBS Miri turut menyambut baik inisiatif kerajaan seperti pemberian diskaun bil elektrik kepada pengguna domestik serta diskaun sewaan premis kerajaan, yang dilihat mampu mengurangkan tekanan kos secara tidak langsung.
Justeru, pihaknya menegaskan komitmennya untuk terus bekerjasama rapat dengan pihak kerajaan bagi memastikan suara usahawan sentiasa didengari, selain bersama-sama merangka pendekatan yang inklusif dan berimpak tinggi demi memperkukuh keseluruhan ekosistem ekonomi Sarawak.-EDISI UKAS