Bantuan PPRMS Ringankan Beban Rakyat, Baik Pulih Rumah di Opar
LUNDU: Usaha meningkatkan kualiti kediaman golongan memerlukan terus menjadi keutamaan apabila bantuan baik pulih rumah di bawah Program Penambahbaikan Rumah Miskin Sarawak (PPRMS) disalurkan kepada penduduk di Kampung Temaga Melayu, di sini, pada Khamis.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Opar, Billy Sujang telah menyempurnakan penyerahan bantuan tersebut bagi projek yang telah siap dilaksanakan.
Turut hadir ialah Ketua Kaum Kampung Temaga Melayu, Othman Ibrahim.
Dua penerima telah menerima manfaat menerusi inisiatif berkenaan iaitu Awang Naseruddin Awang Sipudin dan Muriana Sabian, yang masing-masing menerima bantuan bagi kerja penukaran atap rumah bagi memastikan kediaman lebih selesa dan selamat didiami.
Setiap projek penambahbaikan melibatkan kos sebanyak RM15,000, menjadikan jumlah keseluruhan bantuan yang disalurkan sebanyak RM30,000.
Menurut Billy, pelaksanaan PPRMS mencerminkan komitmen berterusan kerajaan dalam membantu golongan memerlukan, khususnya dalam meningkatkan taraf kehidupan rakyat luar bandar melalui penyediaan kediaman yang lebih selamat dan kondusif.
Beliau turut berharap bantuan yang disalurkan dapat memberi kelegaan kepada penerima, selain terus memperkukuh usaha menjaga kebajikan masyarakat setempat secara menyeluruh.-EDISI UKAS