Premier Sarawak Rasmikan Penamaan Jalan Lubok Tamang, Pacu Pembangunan Agropark Saribas
BETONG: Penamaan Jalan Lubok Tamang yang disempurnakan oleh Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg, membuka lembaran baharu pembangunan infrastruktur luar bandar sekali gus mempercepat akses dan merancakkan ekonomi setempat.
Majlis perasmian penamaan jalan tersebut diadakan di simpang jalan berkenaan di sini, pada Jumaat.
Terdahulu, beliau bersama dif kenamaan lain menerima taklimat projek daripada Pengarah Jabatan Kerja Raya (JKR) Sarawak, Datu Dr Cassidy Morris sebelum menyempurnakan simbolik perasmian papan tanda Jalan Lubok Tamang.
Jalan sepanjang 9.5 kilometer (km) itu menghubungkan Kampung Suri ke Kampung Manggut dan Kampung Tuie, Debak, sekali gus memberi manfaat kepada kira-kira 3,000 penduduk sekitar.
Projek bernilai RM35 juta yang siap sepenuhnya pada April 2023 itu merangkumi pembinaan jalan berturap serta dua jambatan merentasi Sungai Jerai dan Sungai Lubok Selubang.
Dengan siapnya laluan tersebut, masa perjalanan kini lebih singkat selain meningkatkan kesalinghubungan kawasan luar bandar dan membuka peluang ekonomi baharu kepada penduduk setempat.
Lebih signifikan, jalan ini dijangka menjadi laluan utama ke kawasan Agropark Lubok Tamang yang berpotensi mengubah landskap ekonomi Saribas menerusi pembangunan pertanian moden.
Dalam perkembangan sama, Premier Sarawak turut diberi taklimat mengenai Projek Pembangunan Lubok Tamang Agropark oleh Pengurus Besar Lembaga Pembangunan dan Lindungan Tanah (LCDA), Datu Sr Zaidi Mahdi.
Projek bersepadu seluas 763 hektar itu merangkumi pembangunan kawasan pertanian, pusat pelancongan, pusat pemprosesan dan pengumpulan hasil serta zon pembangunan masa hadapan dengan kelapa pandan sebagai tanaman utama.
Agropark tersebut dijangka mampu menghasilkan sehingga 10 juta biji kelapa setahun, sekali gus meningkatkan potensi eksport dan mengurangkan kebergantungan terhadap import komoditi berkenaan.
Selain itu, pelaksanaannya turut memperkukuh ekosistem agropreneur tempatan melalui pewujudan peluang pekerjaan, penyediaan latihan serta penglibatan aktif dalam amalan pertanian moden.
Projek di bawah inisiatif Projek Rakyat ini dijadualkan bermula pada Jun 2026 dengan penanaman dilaksanakan secara berfasa dalam tempoh 20 bulan.
Hadir sama, Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Douglas Uggah Embas, Timbalan Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Layar Datuk Gerald Rentap Jabu, Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Penyelaras Projek untuk Agensi Pembangunan Wilayah, Dewan Bandaraya Kuching Utara dan Hal Ehwal Islam) Datuk Dr Abdul Rahman Junaidi, Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-kanak dan Kesejahteraan Komuniti Sarawak merangkap ADUN Saribas Datuk Mohammad Razi Sitam serta Ahli Parlimen Betong Dato Dr Richard Rapu. –EDISI UKAS
Disediakan Oleh: Ahmad Daniel Faiz
Gambar: Ameerul Syafiq Khir