Sarawak Perkukuh Kedudukan Sebagai Lokasi Penganjuran Kejohanan Tenis Antarabangsa
KUCHING: Sarawak mengorak langkah agresif memperkukuh profilnya di pentas antarabangsa apabila menjadi tuan rumah ODEA Cup World Overseas Chinese Team Championship 2026 yang menghimpunkan 24 pasukan dari pelbagai negara.
Kejohanan berprestij diadakan di Sarawak Lawn Tennis Association (SLTA) bukan sahaja menjadi platform pertandingan tenis, malah berperanan sebagai medium strategik memperluas jaringan antarabangsa serta mempromosikan Sarawak di pentas global.
Majlis perasmian pada Jumaat telah disempurnakan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Kitang, Dato Ir Lo Khere Chieng yang mewakili Timbalan Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak, Datuk Sebastian Ting Chiew Yew.
Turut hadir ialah Konsul Jeneral Republik Rakyat China di Kuching Xing Wei Ping, Presiden SLTA Dato Patrick Liew Chin, Pengerusi Semasa Persekutuan Tenis Cina Sedunia, Yun Jun Dong dan Pengasas dan Pengerusi Pertama Persekutuan Tenis Cina Sedunia Chen Ping serta barisan kepimpinan persekutuan berkenaan.
Dalam ucapan yang dibacakan oleh Dato Lo, Datuk Sebastian menegaskan penganjuran kejohanan itu mencerminkan komitmen berterusan Kerajaan Sarawak dalam memacu pembangunan sukan sebagai pemangkin pelancongan dan hubungan antarabangsa.
Beliau berkata penganjuran kejohanan ini bukan sekadar pertandingan, tetapi merupakan platform untuk memperkukuh hubungan global, memupuk persefahaman budaya serta membuka peluang kepada Sarawak untuk lebih dikenali di peringkat antarabangsa.
Sebanyak 24 pasukan mengambil bahagian melibatkan penyertaan dari Kuching, China, Macau, Jepun, Singapura, Australia, New Zealand, Amerika Syarikat dan Mongolia, sekali gus mencerminkan daya tarikan global kejohanan ini.
Kejohanan yang mempertandingkan kategori umur 50, 60 dan 70 tahun itu turut menyerlahkan penglibatan aktif atlet berpengalaman dalam memperkasa gaya hidup sihat serta semangat kesukanan tanpa mengira usia.
Dalam pada itu, beliau turut menggalakkan para peserta memanfaatkan peluang untuk meneroka keunikan Sarawak, sekali gus berperanan sebagai duta kecil dalam mempromosikan negeri ini kepada dunia.
Kerajaan Sarawak tegasnya, akan terus mempergiat usaha menarik lebih banyak acara bertaraf antarabangsa sebagai strategi memperkukuh sektor pelancongan dan ekonomi negeri. -EDISI UKAS