Cadangan naik taraf Pejabat RELA Bintulu Wajar Dipertimbang
BINTULU: Kemudahan Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) di Bintulu disaran diperkasakan bagi memastikan pasukan itu dalam membantu keselamatan dan kebajikan komuniti dapat dengan lebih berkesan dan menyeluruh.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjong Batu, Johnny Pang Leong Ming berkata, cadangan menaik taraf pejabat RELA wajar dipertimbangkan memandangkan ruang sedia ada dilihat tidak lagi mencukupi untuk menampung keperluan operasi semasa.
Beliau berkata, kemudahan yang lebih luas dan selesa penting bagi menyokong kelancaran gerak kerja anggota RELA yang sentiasa terlibat dalam pelbagai aktiviti komuniti serta operasi kecemasan.
“RELA memainkan peranan penting sebagai barisan hadapan dalam membantu masyarakat, termasuk ketika penganjuran program dan situasi seperti banjir,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui media semasa menghadiri Majlis Ramah Tamah anjuran RELA Bintulu di Wisma Persekutuan pada Khamis.
Menurutnya, walaupun berdepan kekangan kemudahan, semangat dan komitmen anggota RELA untuk berkhidmat kepada masyarakat setempat kekal tinggi dan wajar dihargai.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada seluruh pasukan RELA Bintulu atas dedikasi mereka dalam memastikan keselamatan dan kesejahteraan komuniti terus terpelihara.
Mengulas lanjut, beliau berkata penganjuran majlis yang menggabungkan pelbagai perayaan mencerminkan semangat perpaduan dan keharmonian masyarakat berbilang kaum di negeri ini.
“Semangat muhibah dan saling menghormati antara kaum perlu terus dipupuk sebagai asas kepada kestabilan dan kemakmuran Sarawak,” katanya.-EDISI UKAS