37 pelajar SMK Bukit Assek terima insentif kecemerlangan
SIBU: Seramai 37 orang pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bukit Assek yang berjaya mencapai keputusan 5A dan ke atas dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2025 menerima insentif berjumlah RM8,500 dari Pusat Khidmat Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Assek.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Assek, Joseph Chieng Jin Ek berkata sejak empat tahun lalu, inisiatif ini diteruskan di sekolah-sekolah dalam kawasan Bukit Assek sebagai usaha berterusan untuk menyokong kecemerlangan pendidikan.
“Ini kerana kita percaya bahawa pelaburan dalam pendidikan adalah pelaburan untuk masa depan Sarawak.
“Walaupun nilainya mungkin tidak besar, namun ia membawa mesej yang jelas, iaitu bahawa setiap usaha yang jujur akan dihargai, dan setiap kejayaan mempunyai makna,” katanya ketika berucap pada Majlis Penyampaian Hadiah Insentif Pelajar Cemerlang SPM Tahun 2025 di SMK Bukit Assek, pada Khamis.
Beliau turut berkongsi inisiatif-inisiatif pendidikan yang dilaksanakan oleh Kerajaan Sarawak dalam usaha melahirkan modal insan berkemahiran tinggi, sejajar dengan sasaran menjadi negeri maju berpendapatan tinggi menjelang 2030.
“Mulai tahun 2026, Skim Pendidikan Tinggi Percuma (FTES) akan dilaksanakan dengan menawarkan yuran pengajian percuma sepenuhnya bagi bidang terpilih di institusi milik Sarawak seperti Universiti Teknologi Sarawak, Swinburne University of Technology Sarawak Campus, Curtin University Malaysia dan i-CATS University College.
“Lebih daripada itu, bagi pelajar yang layak, bantuan sara hidup sehingga RM15,000 setahun turut disediakan bagi memastikan tiada pelajar tercicir hanya disebabkan kekangan kewangan,” katanya.
Selain itu katanya, terdapat juga pelbagai bantuan lain seperti wang saku RM1,200 setahun, bantuan komputer riba untuk pelajar yang memerlukan dan subsidi penerbangan bagi meringankan kos perjalanan.
Bagaimanapun, beliau menegaskan bahawa kejayaan bukan hanya bergantung kepada bantuan yang diterima, tetapi juga kepada nilai yang dipegang, ilmu membuka jalan, manakala sikap dan integriti menentukan sejauh mana seseorang itu mampu melangkah.-EDISI UKAS