Urusan Rakyat Jadi Keutamaan Menerusi Pendekatan Turun Padang SKS
KOTA SAMARAHAN: Mempermudah urusan rakyat mendapatkan perkhidmatan kerajaan menjadi antara fokus Program Sarawakku Sayang (SKS) menerusi pendekatan turun padang yang menghimpunkan jabatan dan agensi kerajaan di satu lokasi.
Timbalan Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah merangkap Ahli Parlimen Kota Samarahan, Datuk Rubiah Wang berkata, SKS memberi peluang kepada kerajaan untuk menyantuni rakyat dengan menyediakan kemudahan yang lebih mudah diakses, khususnya bagi membantu mempermudah urusan masyarakat.
“Yang penting program ini turun padang, yang mana kita akan menyantuni atau memberi perkhidmatan terus kepada rakyat, khususnya daripada jabatan-jabatan dan agensi-agensi kerajaan.
“Harapan kita perkara yang sukar dapat dipermudahkan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas merasmikan acara SKS Samarahan Fun Run sejauh lima kilometer (5KM) sempena SKS Bahagian Samarahan, di sini pada Ahad.
Kota Samarahan merupakan lokasi ke-11 penganjuran SKS bagi tahun ini, dengan pelbagai program dan aktiviti disediakan bagi menggalakkan penyertaan masyarakat dari lima daerah di bahagian berkenaan.
Penghimpunan pelbagai agensi kerajaan menerusi program itu turut membuka ruang kepada masyarakat untuk mendapatkan maklumat mengenai perkhidmatan dan inisiatif kerajaan secara bersemuka, sekali gus memperluas akses kepada kemudahan yang disediakan.
Sehubungan itu, beliau berharap pendekatan sedemikian dapat terus memastikan perkhidmatan kerajaan sampai kepada masyarakat dengan lebih mudah, dekat dan menyeluruh. -EDISI UKAS