KMKK Perlu Proaktif Pelihara Keselamatan, Kesejahteraan Masyarakat
KUCHING: Ketua Masyarakat dan Ketua Kaum (KMKK) digesa mempergiat peranan dalam mengenal pasti isu keselamatan dan kesejahteraan penduduk di kawasan masing-masing, selain menggerakkan program kesedaran bagi menangani cabaran sosial yang semakin kompleks.
Timbalan Perdana Menteri Datuk Amar Fadillah Yusof berkata, kepimpinan masyarakat perlu memanfaatkan jaringan kerjasama dengan agensi kerajaan serta pakar berkaitan bagi memastikan pengetahuan dan sokongan yang diperlukan dapat disampaikan kepada komuniti secara berkesan.
“Jadi kita kena kenal pasti bahawa dalam anak buah yang kita jaga dalam bidang kuasa kita, kita kena bukan saja kita melengkapkan ilmu dan kemahiran yang kita sendiri, tapi kita pastikan bawakan perkara ini ke peringkat kampung, jagaan kita, ke peringkat taman perumahan.
“Gunakan kemudahan, cari pakar-pakar untuk dibawa supaya boleh berkongsi pandangan,” katanya semasa berucap pada majlis perasmian Program Kesedaran Keselamatan dan Kesejahteraan Komuniti Kuching yang diadakan di Hospital Umum Sarawak (HUS), di sini, pada Ahad.
Datuk Amar Fadillah berkata, antara aspek yang perlu diberi perhatian termasuk keselamatan siber, kemahiran keibubapaan serta pendekatan mendidik anak-anak yang perlu disesuaikan dengan perubahan keadaan semasa bagi membantu mereka menghadapi cabaran kehidupan.
Beliau turut menekankan kepentingan mengurus tekanan serta mengamalkan gaya hidup sihat melalui aktiviti sukan, riadah dan pergaulan positif bagi membantu mewujudkan kesejahteraan mental, rohani dan fizikal dalam kalangan masyarakat.
Ahli Parlimen Petra Jaya itu menggalakan KMKK merangka lebih banyak program berkaitan keselamatan dan kesejahteraan masyarakat, sama ada secara berkelompok atau mengikut zon, dengan memanfaatkan kepakaran pusat kesihatan, tenaga akademik dan pihak berkaitan.
Beliau menyatakan kesediaannya menyokong cadangan program yang dikemukakan KMKK bagi memastikan usaha berkenaan dapat dilaksanakan dengan lebih teratur, selain menggalakkan kerjasama pelbagai pihak dalam mewujudkan persekitaran komuniti yang selamat dan sejahtera.
Turut hadir ialah Pengarah HUS Dr. Ngian Hie Ung, Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri Sarawak Dato Omar Ali, Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) Sarawak Hamdan Jar’ee serta Pegawai Daerah Kuching Zaidi Sharkawi.-EDISI UKAS