BALAI RINGIN: Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Balai Ringin diseru memperkukuh prestasi akademik menerusi kerjasama erat antara pihak sekolah, guru, ibu bapa dan pelajar bagi meningkatkan pencapaian Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) bermula tahun ini.
Timbalan Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak, Datuk Snowdan Lawan berkata, usaha bersepadu itu penting bagi memastikan pencapaian Gred Purata Sekolah (GPS) terus menunjukkan peningkatan dari tahun ke tahun.
Menurut beliau, sekolah berkenaan merekodkan GPS 5.91 pada 2023, diikuti 5.49 pada 2024 dan 5.95 pada 2025.
“Saya berharap keputusan ini dapat dipertingkatkan pada tahun 2026 dan tahun-tahun mendatang. Ini merupakan satu cabaran buat kita semua,” katanya.
Beliau berkata demikian menerusi kenyataan akhbar sempena Majlis Perasmian Hari Apresiasi dan Graduasi Pelajar Lepasan Tingkatan Lima di Dewan Tan Sri James, SMK Balai Ringin pada 12 November lepas.
Dalam pada itu, Datuk Snowdan turut menggalakkan pelajar memperkukuh penguasaan mata pelajaran Sains, Matematik dan Bahasa Inggeris, selain meneroka peluang dalam bidang Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET).
Katanya, pendedahan kepada bidang berkemahiran tinggi, termasuk industri aeroangkasa dan penerbangan, penting bagi menyediakan generasi muda menghadapi keperluan tenaga kerja masa hadapan.
“Ini selaras dengan hala tuju Kerajaan Sarawak untuk mencapai status negeri maju dan berpendapatan tertinggi dalam Malaysia menjelang tahun 2030 dan seterusnya,” katanya.
Sementara itu, beliau turut memberi perhatian terhadap keperluan tenaga pengajar di SMK Balai Ringin dan meminta pihak sekolah memaklumkan sebarang kekurangan guru supaya tindakan susulan dapat diambil melalui saluran berkaitan.
Beliau turut memaklumkan bahawa perbincangan sedang dijalankan berhubung cadangan pembinaan sebuah lagi sekolah rendah jenis SK 11 serta sekolah vokasional di Pantu bagi memperluas akses pendidikan dan menangani isu keciciran pelajar.
Pada majlis berkenaan, seramai 254 pelajar Tingkatan Lima diraikan sebagai penghargaan atas usaha dan pencapaian mereka sepanjang tempoh persekolahan.
SMK Balai Ringin kini mempunyai 1,504 pelajar, merangkumi 629 pelajar asrama dan 875 pelajar harian, dengan 102 guru serta 13 kakitangan bukan guru.
Turut hadir wakil Pejabat Daerah Kecil Balai Ringin, Norazie Bismilah, wakil Pejabat Pendidikan Daerah Serian, Jeniffer George Gantung, Pengetua SMK Balai Ringin, Dickson Melan dan wakil Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG), Betsy Ringan.-Edisi UKAS