SERIAN: Seramai 1,700 peserta daripada pelbagai peringkat usia memeriahkan SKS Serian Fun Run 5KM sempena Program SarawakKu Sayang (SKS) 2026 Bahagian Serian di Serian Conference Centre (SCC) pada Ahad.
Acara larian sejauh 5 kilometer itu bukan sahaja menggalakkan amalan gaya hidup sihat, malah menjadi platform mengeratkan hubungan silaturahim dan memupuk semangat kebersamaan dalam kalangan masyarakat setempat.
Program yang bermula seawal 6 pagi itu melibatkan penyertaan tiga kategori, iaitu lelaki dewasa, wanita dewasa dan kanak-kanak.
Para peserta terlebih dahulu mengikuti sesi memanaskan badan dan senamrobik sebelum pelepasan larian disempurnakan oleh Ahli Parlimen Serian, Dato Sri Richard Riot Jaem pada 7.00 pagi.
Dalam acara tersebut, M. Aliff Danial muncul juara kategori lelaki dewasa, manakala Norafazira mengungguli kategori wanita dewasa.
Bagi kategori kanak-kanak pula, Jerico Danish berjaya meraih gelaran juara.
Seramai 15 peserta terawal, masing-masing lima daripada setiap kategori, menerima hadiah sebagai penghargaan atas pencapaian mereka.
Penganjuran acara tersebut merupakan antara pengisian SKS 2026 Bahagian Serian yang memberi peluang kepada masyarakat menyertai aktiviti sukan dan riadah secara bersama, sekali gus menyemarakkan budaya hidup aktif dan sihat.
Turut hadir Ahli Parlimen Serian, Dato' Sri Richard Riot Jaem, Residen Bahagian Serian, Mackos Sibong, Timbalan Residen Bahagian Serian, Abdul Khalid Manap, Pegawai Daerah Siburan, Ranum Bari, Ketua Polis Daerah Serian, Freddy Bian dan wakil Setiausaha Tetap Kementerian Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak, Kerry Edison.-EDISI UKAS