Kejohanan Bola Sepak Remaja Sri Aman 2026 Cungkil Bakat Muda
SIMANGGANG: Kejohanan Bola Sepak Remaja Sri Aman (SAYFT) 2026 membuka peluang kepada pemain muda dari pelbagai daerah di Sarawak untuk menyerlahkan bakat, menimba pengalaman dan memperkukuh semangat kesukanan menerusi saingan yang berlangsung di Kompleks Sukan Sri Aman.
Kejohanan anjuran Datus United Football Club Sri Aman itu berlangsung selama empat hari, iaitu pada 21, 22, 28 dan 29 November, dengan menawarkan hadiah keseluruhan berjumlah RM12,200.
Pengerusi SAYFT merangkap Pengerusi Kelab Datus United, Awang Putrayusrie Awang Redzuan berkata, penganjuran kejohanan berkenaan bukan sekadar medan merebut kejuaraan, malah menjadi platform pembangunan bakat bola sepak di peringkat akar umbi.
Menurut beliau, sebanyak lapan pasukan menyertai saingan kategori Bawah 14 Tahun (U14), manakala lapan lagi pasukan mengambil bahagian dalam kategori kedua yang dipertandingkan.
“Untuk makluman, kejohanan ini telah membabitkan sejumlah lapan buah pasukan bagi kategori Umur 14 Tahun (U14) dan lapan buah pasukan bagi kategori U18,” katanya menerusi kenyataan media pada Sabtu.
Bagi setiap kategori, pasukan juara bakal membawa pulang hadiah wang tunai RM3,000, naib juara RM1,500, manakala dua pasukan di tempat ketiga bersama masing-masing menerima RM800.
Antara pasukan yang mengambil bahagian ialah Al-Matteen Football Academy, L.A United Football Club Lubok Antu, PFA Odin Academy Kuching, Akademi Bola Sepak GMP Future Betong, Cascara Junior Kuching, SJN Academy Kuching dan Axis Kids Kuching.
Turut menyertai kejohanan itu ialah Kelab Sukan Rekreasi Bungin Spaoh, Samarahan Yongboys Football Academy, Akademi Bola Sepak Samarahan serta pasukan tuan rumah, Datus United Football Academy.
Awang Putrayusrie berkata, SAYFT 2026 mendapat sokongan dan kerjasama Kementerian Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak (MYSED), Perbadanan Sukan Sarawak (SSC) serta rakan strategik termasuk Bintulu Port, Press Metal dan Persatuan Bola Sepak Sarawak (FAS).
Beliau turut menekankan lima nilai utama yang perlu diterapkan dalam kalangan pemain muda, iaitu semangat kesukanan, kerja berpasukan, disiplin dan tanggungjawab, semangat juang serta hormat dan persaudaraan.
“Jangan hanya datang ke SAYFT 2026 untuk mencari kemenangan. Datanglah untuk menimba pengalaman, menunjukkan bakat, membina persahabatan dan membuktikan kemampuan diri.
“Hari ini anda mungkin pemain muda yang sedang belajar, tetapi dengan disiplin, latihan dan kesungguhan, suatu hari nanti anda mungkin menjadi pemain yang mengharumkan nama Sarawak,” katanya.
Dalam pada itu, beliau memaklumkan bahawa kejohanan berkenaan dirancang untuk diteruskan pada tahun hadapan, selain terdapat cadangan menaik taraf Kompleks Sukan Sri Aman bagi menyokong pembangunan aktiviti sukan dan menyediakan kemudahan lebih baik kepada masyarakat setempat.
Acara sepak mula kejohanan berkenaan telah disempurnakan oleh Ahli Parlimen Batang Lupar, Mohamad Shafizan Kepli.-Edisi UKAS