Hari Bersama Pelanggan TBS Lawas Raikan Pelanggan, Asnaf
LAWAS: Hari Bersama Pelanggan Tabung Baitulmal Sarawak (TBS) Daerah Lawas menjadi platform yang penting dalam meraikan para pelanggan serta golongan asnaf, di samping mengeratkan hubungan silaturahim antara Tabung Baitulmal Sarawak dan masyarakat setempat.
Ketua TBS Bahagian Limbang, Nor Nadiah Abas berkata, penganjuran program ini turut mencerminkan penghargaan TBS terhadap sokongan berterusan daripada para pembayar zakat, penerima bantuan, para amilin serta kerjasama pelbagai pihak termasuk agensi kerajaan, swasta, badan berkanun dan rakan strategik lain.
Katanya, penganjuran program seumpama ini diharap dapat terus memperkukuh peranan TBS dalam membantu golongan yang memerlukan, selain memastikan kebajikan ummah sentiasa terbela secara berterusan.
Beliau berkata demikian semasa program itu yang diadakan bersempena sambutan Hari Raya Aidilfitri bertempat di Dewan Seri Sari Tadika Hikmah Lawas, pada Khamis.
Dalam masa yang sama katanya, kaunter perkhidmatan Tabung Baitulmal Sarawak turut dibuka bagi memudahkan orang ramai mendapatkan maklumat berkaitan produk bantuan, urusan pembayaran zakat serta pelbagai perkhidmatan lain yang ditawarkan.
Sehingga 31 Mac 2026, Tabung Baitulmal Sarawak telah mengagihkan sebanyak RM39.68 juta kepada golongan asnaf di seluruh Sarawak yang layak melalui empat program utama, iaitu Program Mengukuhkan Tradisi Keilmuan, Program Membangunkan Institusi Islam, Program Memantapkan Kebajikan Ummah dan Program Peningkatan Kemahiran Ummah.-EDISI UKAS