Gastronomi Perkukuh Tarikan Pelancongan, Medan Pertukaran Budaya
BINTULU: Penganjuran pertandingan kulinari dilihat mampu memperkukuh sektor pelancongan negara selain menjadi platform penting dalam memperluas pertukaran budaya antara wilayah.
Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia, Dato Sri Tiong King Sing berkata, penyertaan chef dari pelbagai wilayah dalam pertandingan tersebut membuktikan bahawa acara seumpama itu bukan sekadar medan pertukaran kemahiran kulinari, malah berperanan sebagai platform merentas wilayah dalam mempertemukan kepelbagaian cita rasa dan latar belakang.
“Penyertaan chef dari pelbagai wilayah dalam pertandingan ini membuktikan bahawa penganjurannya bukan sekadar medan pertukaran kemahiran kulinari, malah menjadi platform merentas wilayah dalam memperkukuh pertukaran budaya, sekali gus mempertemukan kepelbagaian cita rasa dan latar belakang.
“Penganjuran edisi kali ini yang julung kali diadakan di Malaysia Timur, khususnya di Bintulu, turut membawa signifikan tersendiri memandangkan wilayah ini memiliki sistem makanan dan latar budaya yang berbeza berbanding Semenanjung, dengan kepelbagaian yang terserlah daripada aspek bahan mentah hingga kaedah penyediaan makanan,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam teks ucapan yang dibacakan oleh Pegawai Tugas-Tugas Khas kepada beliau, Steven Kong Kai Seng sempena Majlis Penganugerahan Pertandingan Cabaran Kulinari Global Malaysia (GCCM) Ke-5 2026 di Hotel Imperial pada Khamis.
Katanya, kepelbagaian gastronomi yang dimiliki Malaysia merupakan antara kekuatan utama dalam menarik kedatangan pelancong, selari dengan trend pelancongan semasa yang semakin menumpukan kepada pengalaman makanan tempatan.
Menurutnya lagi, makanan bukan lagi sekadar nilai tambah dalam industri pelancongan, sebaliknya menjadi elemen penting dalam membentuk pengalaman pelancong serta memperkukuh imej sesebuah destinasi.
Beliau berkata, penganjuran pertandingan kulinari turut berperanan dalam mengetengahkan keunikan makanan tempatan ke peringkat lebih tinggi, sekali gus membantu mempromosikan identiti budaya negara kepada masyarakat antarabangsa.
Pertandingan itu menghimpunkan penyertaan chef dari pelbagai wilayah dan negara, sekali gus menjadi platform memperkukuh jaringan industri kulinari serta mempromosikan gastronomi tempatan.-EDISI UKAS