Kejohanan Futsal Dorong Budaya Kerja Berpasukan JKR Sarawak
BINTULU: Kejohanan Futsal Piala Pengarah Jabatan Kerja Raya Sarawak (JKR Sarawak) 2026 dilihat sebagai pemangkin penting dalam memperkukuh perpaduan warga jabatan, di samping menyokong kesejahteraan fizikal dan mental penjawat awam.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjong Batu, Johnny Pang Leong Ming menegaskan, penganjuran kejohanan berkenaan bukan sekadar memenuhi kalendar sukan tahunan, tetapi menjadi platform strategik membina budaya kerja berpasukan yang lebih kukuh dan dinamik.
Menurut beliau, elemen kesukanan yang diterapkan melalui futsal mampu membentuk disiplin, meningkatkan daya tahan serta mengasah keupayaan membuat keputusan pantas dalam kalangan peserta, sekali gus relevan dengan keperluan persekitaran kerja masa kini.
Beliau menyatakan aktiviti tersebut memberi ruang kepada warga kerja mengeratkan hubungan, membina pasukan lebih produktif serta menerapkan nilai kerjasama dan kepercayaan dalam organisasi, katanya semasa merasmikan kejohanan tersebut di Kelab Kidurong pada Khamis.
Tambahnya, penglibatan aktif dalam sukan juga memainkan peranan penting dalam mengurangkan tekanan kerja serta menyokong keseimbangan antara tuntutan profesional dan kesihatan diri.
Dalam pada itu, beliau menyifatkan kejohanan berkenaan sebagai platform mencungkil bakat baharu selain menyemai nilai hormat, disiplin dan semangat kesukanan dalam kalangan warga JKR Sarawak.
Beliau berharap semangat yang dipamerkan dapat diteruskan bukan sahaja di gelanggang, tetapi juga dalam pelaksanaan tugas harian.
Kejohanan yang menghimpunkan penyertaan dari pelbagai bahagian itu berlangsung dalam suasana kompetitif namun harmoni, sekali gus mencerminkan komitmen JKR Sarawak dalam membudayakan perpaduan dan gaya hidup sihat dalam organisasi. — EDISI UKAS