KMKK Sokong Inisiatif SKAS, Bukti Keperihatinan Kerajaan Sarawak
LIMBANG: Ketua-ketua Masyarakat dan Ketua-ketua Kaum (KMKK) dari pelbagai kaum di Daerah Limbang menzahirkan rasa syukur serta merakamkan penghargaan terhadap penambahbaikan inisiatif Sumbangan Keperluan Asas Sarawak (SKAS) yang diumumkan oleh Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg semalam.
Mereka menyifatkan inisiatif tersebut sebagai bukti jelas keprihatinan Kerajaan Sarawak dalam memastikan kebajikan rakyat terus terpelihara, khususnya golongan yang memerlukan daripada pelbagai lapisan masyarakat.
Menurut Ketua Masyarakat Bisaya Limbang, Nicholos Boyok Pura, SKAS bukan sahaja membantu meringankan beban kos sara hidup, malah turut menyumbang kepada peningkatan kesejahteraan rakyat secara menyeluruh.
“Ini adalah satu inisiatif yang amat bermakna dan tepat pada masanya. Ia jelas menunjukkan kerajaan sentiasa peka terhadap keperluan rakyat,” katanya ketika ditemui pada sesi pertemuan bersama KMKK di Bilik Ketua Masyarakat dan Ketua Kaum, Pejabat Daerah Limbang pada Jumaat.
Pandangan tersebut turut disokong oleh beberapa wakil masyarakat lain termasuk Leong Boon Ming, Sahat Bagol serta Unong Ketit yang senada menyatakan sokongan penuh terhadap pelaksanaan SKAS.
Mereka turut berharap agar inisiatif seumpama ini dapat diteruskan dan diperkasakan dari semasa ke semasa selaras dengan komitmen kerajaan dalam memacu pembangunan inklusif serta menjamin kesejahteraan rakyat Sarawak secara berterusan.-EDISI UKAS