Pemerkasaan Wanita Pacu Pembangunan Inklusif di Lawas
LAWAS: Golongan wanita di Sarawak kini muncul sebagai peneraju utama pembangunan komuniti apabila peranan mereka semakin signifikan merentas pelbagai sektor, sekali gus memperkukuh kesejahteraan dan daya tahan masyarakat setempat.
Ahli Parlimen Lawas, Dato Henry Sum Agong menegaskan, penglibatan aktif wanita dalam bidang ekonomi, pendidikan, kebajikan dan sosial membuktikan keupayaan mereka sebagai agen perubahan yang berkesan dalam memacu kemajuan negeri.
Menurut beliau, kestabilan dan keharmonian yang dinikmati di Sarawak menjadi pemangkin kepada peningkatan keyakinan wanita untuk tampil ke hadapan serta memainkan peranan lebih besar dalam arus pembangunan semasa.
Beliau turut menyatakan bahawa wanita bukan sahaja menjadi tunjang keluarga, malah kini berperanan sebagai rakan strategik dalam membina komuniti yang lebih inklusif dan mampan.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Ramah Tamah Wanita Zon Sundar Awat-Awat di Dewan Masyarakat Sundar pada Rabu.
Dalam pada itu, beliau menekankan kepentingan perpaduan dan kerjasama sebagai asas kekuatan komuniti, khususnya melalui penglibatan aktif wanita di peringkat akar umbi.
Program tersebut bukan sahaja mengeratkan silaturahim, malah menjadi platform memperkukuh jaringan sosial serta memperkasa peranan wanita dalam pembangunan komuniti.
Wanita Zon Sundar Awat-Awat turut memainkan peranan proaktif menerusi pelaksanaan inisiatif kebajikan melibatkan 12 ranting yang berganding bahu mengumpul dana bagi membantu golongan memerlukan termasuk pesakit dan warga emas.
Pendekatan ini bukan sahaja mencerminkan keprihatinan sosial, malah memperkukuh peranan wanita sebagai tonggak utama dalam membina komuniti yang bersatu, berdaya tahan dan inklusif. - EDISI UKAS