PROPUB Siri Ketiga Perkasa Usahawan Mukah Dalam Pemasaran Digital
MUKAH: Program Pemerkasaan Usahawan Berjaya (PROPUB) kini memasuki siri ketiga pelaksanaannya dengan memberi fokus kepada pemasaran digital dalam kalangan usahawan tempatan.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tellian, Royston Valentine berkata, program yang ditawarkan secara percuma itu terbuka kepada orang ramai, khususnya usahawan sekitar Mukah sebagai platform memperkukuh kemahiran dalam era ekonomi digital.
Menurut beliau, peserta perlu memanfaatkan sepenuhnya peluang yang disediakan bagi meningkatkan keupayaan dan daya saing perniagaan masing-masing.
“Oleh itu, peserta yang menyertainya perlu menggunakan peluang ini dengan sebaik mungkin bagi meningkatkan keupayaan perniagaan masing-masing,” katanya ketika berucap merasmikan PROPUB (Modul 3: Program Pemerkasaan Digital) di Politeknik Mukah, pada Jumaat.
Tambah Royston, program berkenaan diharap dapat memberi manfaat kepada peserta selain membolehkan ilmu yang diperoleh diaplikasikan dalam usaha mengembangkan perniagaan.
Terdahulu, Pengarah Politeknik Mukah, Suhaili Aleh berkata, penganjuran program tersebut amat signifikan dalam memperkasa kemahiran digital dalam kalangan masyarakat, khususnya peserta Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) serta belia di kawasan Mukah.
“Dalam era teknologi yang berkembang pesat ini, kemahiran digital bukan lagi satu pilihan, tetapi satu keperluan kerana peserta didedahkan dengan ilmu dan kemahiran berkaitan pemasaran digital seperti penggunaan media sosial, strategi pemasaran dalam talian serta pembangunan jenama,” ujarnya.
Jelas beliau, pendedahan tersebut secara tidak langsung membuka peluang kepada peserta untuk menjana pendapatan, meningkatkan keyakinan diri serta membina masa depan yang lebih baik.
“Saya berharap agar peserta memanfaatkan peluang yang diberikan dan menjadikan program ini sebagai titik permulaan dalam membina kemahiran serta memperluaskan potensi diri,” tambahnya.-EDISI UKAS