Pelancongan Miri Diperkasa Melalui Pendekatan Acara Berimpak
MIRI: Penyusunan kalendar acara pelancongan yang berimpak tinggi menjadi strategi utama Bahagian Miri dalam memperkukuh kedudukannya sebagai hab pelancongan di utara Sarawak.
Residen Bahagian Miri merangkap Pengerusi Jawatankuasa Kerja Kumpulan Pelancongan Bahagian Miri (DTTG), Galong Luang berkata, pendekatan bersepadu melalui penganjuran acara sepanjang tahun terbukti mampu merancakkan sektor pelancongan serta menjana impak ekonomi kepada kawasan setempat.
Menurut beliau, kejayaan penganjuran Miri Marathon yang mendapat sambutan menggalakkan menjadi bukti keberkesanan kerjasama erat antara kerajaan Persekutuan, Kerajaan Sarawak, agensi berkaitan serta sektor swasta dalam menjayakan program pelancongan.
Beliau berkata demikian ketika mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa DTTG di Bilik Mesyuarat, Pejabat Residen Bahagian Miri pada Jumaat.
Tambahnya, antara acara utama yang dirancang termasuk Festival Seni dan Bazar Gawai pada Mei, diikuti Kuala Baram Cycling Race serta Pesta Nukenen Bario pada Julai.
Selain itu, Baram Regatta yang dijadualkan berlangsung pada 24 hingga 26 Julai bakal dianjurkan semula selepas tertangguh tahun lalu akibat banjir, manakala Pesta Kedaya Telang Usan dijangka berlangsung pada September.
Kesemua program ini dijangka menarik kehadiran pelancong domestik dan antarabangsa, sekali gus memperkukuh rantaian ekonomi pelancongan di bahagian tersebut.
Dalam mesyuarat sama, beliau turut dimaklumkan mengenai prosedur permohonan geran pelancongan oleh Kementerian Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak yang perlu dikemukakan sekurang-kurangnya 90 hari sebelum penganjuran.
Bagaimanapun, beliau menegaskan kepentingan penyelarasan melibatkan Pejabat Residen dan Pejabat Daerah bagi memastikan kelancaran program serta mengelakkan sebarang isu sensitif.
Sehubungan itu, beliau mencadangkan agar prosedur operasi standard (SOP) berkaitan permohonan geran pelancongan diperkemas bagi meningkatkan kecekapan pengurusan acara di peringkat bahagian dan daerah.
Dalam pada itu, beliau turut menggesa usaha promosi pelancongan dipertingkat melalui kerjasama strategik antara agensi kerajaan, sektor swasta dan korporat, termasuk mencontohi pendekatan negeri Sabah dalam menganjurkan program berskala besar.
Taklimat daripada Pejabat Daerah Marudi, Subis, Beluru dan Telang Usan serta Majlis Daerah Marudi turut menunjukkan perkembangan positif termasuk penganjuran semula acara yang sebelum ini tertangguh akibat banjir.
Pendekatan strategik dan penyelarasan menyeluruh ini dijangka terus memperkukuh kedudukan Miri sebagai destinasi pelancongan utama, sekali gus memacu pertumbuhan ekonomi wilayah secara mampan. — EDISI UKAS