MUKAH: Pusat Sarawak Service bakal beroperasi di bangunan Pusat Pentadbiran Kerajaan Sarawak (Bahagian Mukah) Ogos ini, bagi memudahkan orang ramai mengakses pelbagai perkhidmatan kerajaan di bawah satu bumbung.
Pegawai Daerah Mukah, Peleadzman Ahip berkata, pusat sehenti itu akan menyediakan kemudahan kepada orang ramai untuk membuat pelbagai urusan perkhidmatan kerajaan di bawah satu bumbung, termasuk urusan pembayaran bil dan perkhidmatan agensi berkaitan.
“Inisiatif tersebut merupakan sebahagian daripada usaha kerajaan untuk meningkatkan kecekapan sistem penyampaian perkhidmatan awam kepada rakyat,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap dalam Majlis Ramah Tamah Aidilfitri dan Majlis Kesyukuran Pejabat Daerah Mukah bersama Ketua Masyarakat dan Ketua Kaum (KMKK) Daerah Mukah di Pusat Pentadbiran Kerajaan Sarawak (Bahagian Mukah), pada Jumaat.
Majlis tersebut turut dihadiri oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tellian, Royston Valentine dan Residen Bahagian Mukah, Datu Kueh Lei Poh.
Dalam perkembangan berkaitan, beliau memaklumkan Pejabat Daerah Mukah kini dalam proses pemindahan ke bangunan Pusat Pentadbiran Kerajaan Sarawak (Bahagian Mukah) bagi menyediakan kemudahan yang lebih selesa dan efisien kepada orang ramai.
Tambahnya, lokasi baharu itu turut merangkumi perancangan pembangunan sebuah galeri khas yang berkonsepkan futuristik dengan elemen sejarah serta pembangunan Mukah.
“Galeri ini akan menjadi medium pendidikan kepada masyarakat, khususnya pelajar dalam memahami sejarah dan perkembangan daerah ini berkonsepkan ala-ala Petrosains,” ujarnya.
Peleadzman memaklumkan, operasi penuh Pejabat Daerah Mukah dijangka bermula seawal Mei ini setelah kerja-kerja penambahbaikan mencapai tahap memuaskan.
Dalam pada itu, beliau turut memberitahu penganjuran majlis seumpama itu penting dalam memupuk perpaduan antara agensi kerajaan dan masyarakat, khususnya pemimpin akar umbi.
Katanya, melalui platform tersebut, kerjasama dapat diperkukuh sekali gus memastikan pelaksanaan pembangunan dapat dilaksanakan dengan lebih berkesan demi kesejahteraan rakyat.-EDISI UKAS