UKAS Perkasa Literasi Digital Melalui Program Hari Bersama Pelanggan
KUCHING: Unit Komunikasi Awam Sarawak (UKAS) terus mempergiat usaha memperkasa literasi digital rakyat menerusi penganjuran Program Hari Bersama Pelanggan yang berlangsung di Auditorium Dewan Bandaraya Kuching Utara (DBKU), pada Sabtu.
Program tersebut melibatkan Ketua-Ketua Masyarakat dan Ketua-Ketua Kaum (KMKK) sekitar Kuching dengan fokus memberi pendedahan serta tunjuk ajar berkaitan penggunaan aplikasi digital Kerajaan Sarawak.
Antara aplikasi yang diketengahkan ialah Sarawak Pass dan TALIKHIDMAT Mobile Apps, merangkumi aspek memuat turun, pendaftaran serta kaedah penggunaan bagi memudahkan akses kepada perkhidmatan kerajaan secara dalam talian.
Inisiatif ini selaras dengan agenda pendigitalan yang diperkenalkan oleh Premier Sarawak dalam memperkukuh penyampaian perkhidmatan kepada rakyat secara lebih cekap dan efisien.
Program berkenaan merupakan kolaborasi antara UKAS, Unit Digitalisasi Perkhidmatan Awam Sarawak (SCSDU) serta Sarawak Information System Sdn. Bhd. (SAINS).
Majlis tersebut telah dirasmikan oleh Pengarah UKAS, Awang Putrayusrie Awang Redzuan.
Turut hadir ialah Timbalan Pengarah Jabatan Perkhidmatan Kewangan Dewan Bandaraya Kuching Utara (DBKU), Abang Iskandar Bolhassan, Penyelia Sarawak Service Bahagian Kuching, Leonardo Anthony serta wakil TALIKHIDMAT Call Centre, Puan Norhayati.-EDISI UKAS