Kejohanan Muaythai Piala TYT Sarawak Platform Pembangunan Sukan Tempur
KUCHING: Penganjuran Kejohanan Muaythai Piala Tuan Yang Terutama (TYT) Yang di-Pertua Negeri Sarawak Edisi Ke-10 dan Piala Borneo 2026 dilihat sebagai platform penting dalam memperkukuh pembangunan sukan tempur serta merancakkan ekonomi dan pelancongan negeri.
Datuk Bandar Dewan Bandaraya Kuching Utara (DBKU), Dato Hilmy Othman dalam ucapannya berkata, kejohanan berprestij yang berlangsung di Tebingan Kuching itu bukan sahaja menghimpunkan atlet tempatan, malah turut menarik penyertaan antarabangsa dari lima negara iaitu Indonesia, Brunei, Filipina, Thailand dan Singapura.
Menurut beliau, penyertaan seramai 350 atlet dalam kejohanan tersebut secara tidak langsung mengangkat kedudukan Kuching sebagai destinasi sukan bertaraf antarabangsa di rantau ini.
“Penganjuran yang turut memperkenalkan Piala Borneo buat pertama kali merupakan satu pencapaian penting ke arah memperluas jaringan kerjasama serantau serta menyediakan platform pertandingan yang lebih kompetitif,” katanya ketika berucap pada kejohanan tersebut di sini pada Sabtu.
Tambah beliau, DBKU sentiasa komited dalam menyokong pembangunan sukan sebagai medium membentuk masyarakat yang sihat, berdisiplin dan berdaya saing selaras dengan aspirasi menjadikan bandar raya Kuching sebagai bandar raya yang aktif dan berdaya huni.
Pada Kejohanan tersebut, JohanPiala TYT Sarawak dirangkul oleh Sting Muay Thai Club Kuching, Naib Johan, Muay Thai Kenyalang, Ketiga Rentap Muay Thai
Manakala Johan bagi Piala Datuk Bandar Dewan Bandaraya Kuching Utara(DBKU) dirangkul oleh Rentap Muay Thai.
Dalam masa sama, beliau menegaskan bahawa penganjuran acara sukan secara konsisten mampu memberi impak positif kepada ekonomi negeri melalui peningkatan aktiviti pelancongan serta perbelanjaan domestik.
Beliau turut menggesa para atlet agar mempamerkan semangat kesukanan tinggi, berdisiplin dan menjadikan kejohanan sebagai medan menimba pengalaman serta memperkukuh persahabatan antara peserta pelbagai negara.
“Menang atau kalah bukan ukuran utama, sebaliknya nilai pengalaman dan hubungan yang terjalin adalah lebih bermakna,” ujarnya. -EDISI UKAS